Sabah hantar skuad penuh gimnastik

Judy (tujuh dari kiri di depan) bersama pasukan gimnastik Sabah selepas menyampaikan hadiah SSGA sebagai motivasi untuk beraksi cemerlang di Sukma.

KUALA LUMPUR: Persatuan Gimnastik Sabah (SSGA) menghantar skuad penuh pada SUKMA XX 2022 di sini.

Presidennya, Dr. Judy Mahibol berkata, penghantaran skuad penuh bertanding acara gimnastik artistik dan berirama itu juga diiringi dengan harapan menghasilkan beberapa pingat.

“Atlet artistik kita telah membuat persiapan sejak sebelum anak Covid-19 melanda dan menyambung semula latihan pada penghujung 2021..mereka telah bekerja keras.

“Diharapkan pertandingan yang mereka sertai di Terbuka Singapura dan kejohanan kebangsaan baru-baru ini telah mempertingkatkan prestasi dan keyakinan mereka menghadapi cabaran di Sukma.

“Saya harap gimnas senior akan menang beberapa pingat dalam acara individu dan memberi persembahan konsisten dalam acara berpasukan,” kata Judy.

Judy berkata, dalam acara gimnastik berirama, skuadnya bertanding dengan status kategori B dan akan mengambil bahagian dalam acara individu dan berpasukan buat pertama kali dalam sukan terbesar negara itu.

Katanya, penting buat atlet gimnastik berirama mendapat pendedahan dalam pertandingan seperti di Sukma untuk melihat tahap kemampuan mereka.

“Pertandingan akan menjadikan atlet kita lebih tabah, berkemahiran dan bersemangat. Ia bukan sekadar untuk memenangi pingat,” kata Judy.

Pasukan gimnastik artistik terdiri daripada Brandon Denoley Luise, Ammar Zafi Mohd Firdaus, Abd Izzat Daniel Abd Rauf, Charlie Richie Chong, Jacob Hezron Andreas and Liew Jun Xiang (lelaki) serta Felicity Grace Sew Pei En, Nur Farisha Atiqah Shuaili, Jill Avie Horatio, Ammanda Wong Yeah Chean, Cherfie Resie Chong dan Jennisia Jiniol (wanita).

Pengurus pasukan ialah Marilyn Buseong dan chaperon Chin Mei Ying manakala jurulatih ialah Liew Tong Ee, Azri Omar dan Mohd Zamri Din.

Atlet gimnastik berirama terdiri daripada Lee Ting Ting dari Sekolah Menengah Tshung Tsin (TTSS), Iona Scherise Gonsilou (SM St Francis), Rachel Janice Tai (SM Kian Kok), Faith Chin Mei San (SM Kian Kok), Eva Lissandra Westly (SMK Lohan Ranau), Kong Pui Shyuan (TTSS), Hazel Meyriel (SM St Francis) dan Annastsaya Kienna Japlin (SM All Saints).

Pengurus pasukan ialah Law Phaik Chuan manakala jurulatih ialah Corina Binting (SM Lok Yuk) dan Zovi Tie Yu Pei (Reading University) Ningsari Atiqah Ali (SM Kian Kok) sebagai penolong jurulatih.

“SSGA mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Sabah atas sokongan dan bantuan kewangan sepanjang persiapan Sukma.

“Syabas kepada semua jurulatih atas kerja keras dan dedikasi mereka. Salam terbaik buat kedua-dua pengurus pasukan atas komitmen mereka sejak awal latihan Sukma dan untuk semua ibu bapa yang telah memberi sokongan,” tambah Judy.

Sukan gimnastik menawarkan 21 pingat emas iaitu 14 emas untuk acara gimnastik artistik dan tujuh dalam gimnastik berirama.

Pertandingan gimnastik artistik berlangsung pada 17-19 September diikuti gimnastik berirama pada 2`-23 September. Kedua-duanya akan berlangsung di Gimnasium 1, Majlis Sukan Negara (MSN) di sini.

scroll to top