KOTA KINABALU: Temasya Sukan Sabah edisi ke-10 (SAGA X) akan berlangsung 16 hingga 22 Disember ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata, sebanyak RM400 ribu disediakan bagi pemilihan atlet dan RM232 ribu bagi pembelian peralatan sukan serta latihan atlet yang disalurkan melalui Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) sejak Februari lepas.

Ellron merakamkan ucapan terima kasih kepada Mayor Bandaraya Kota Kinabalu atas kesudian menjadi hos SAGA X.
“MSNS bertindak sebagai Pengerusi Teknikal berhubung jumlah sukan dan permainan yang akan dipertandingkan serta peraturan-peraturan yang wajib dipatuhi oleh para atlet.
“Di samping itu, Lembaga Sukan Negeri Sabah (LSNS) pula menyelaras lokasi-lokasi pertandingan yang digunakan sepanjang kejohanan berlangsung manakala Jawatankuasa Induk menyediakan keperluan para atlet kontinjen yang bertanding,” jelas beliau pada sesi sidang media sejurus mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sabah Games (SAGA X) di sini, pada Selasa.
Selain Kota Kinabalu yang menjadi hos utama SAGA kali ini, beberapa lokasi tambahan turut digunakan di daerah-daerah berdekatan iaitu Penampang, Kota Belud, Ranau, Putatan, Keningau dan Tuaran.
“Sebanyak 10 sukan wajib akan dipertandingkan iaitu badminton, bola sepak, boling padang, berbasikal, hoki, karate, memanah, olahraga, pencak silat dan sepak takraw.
“Terdapat 13 acara sukan pilihan juga dipertaruhkan antaranya angkat berat, bola jaring, bola keranjang, bola tampar, golf, Muay Thai, ping pong, Petanque, ragbi, tenis, tinju, wushu dan E-Sport.
“Sukan E-Sport pula adalah permainan Mobile Legend, PES 2022 dan Tekken 7 dengan dua kategori iaitu kategori lelaki dan wanita,” jelas Ellron.
Hadir sama, Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, Setiausaha Tetap KBS Sabah Datuk Mansur Asun, Timbalan Setiausaha Tetap KBS Sabah Putra Jali, Pengurus Besar LSNS Terrance Edward Pudin serta Pengarah MSNS Mohd Asneh Mohd Noor.-PENERANGAN.