Simon jadi wira bantu Sepanyol tewaskan Switzerland

MENDEBARKAN: Unai (kanan) memerhatikan penyerang Switzerland Haris Seferovic (depan) berebut bola dengan pemain pertahanan Sepanyol Pau Torres (kiri) dan penyerang Sepanyol Alvaro Morata (tengah) pada perlawanan Euro 2020di antara Switzerland dan Sepanyol di Stadium Saint Petersburg di Saint Petersburg, kelmarin. — Gambar AFP

SAINT PETERSBURG: Penjaga gol Unai Simon, menjadi wira Sepanyol apabila menewaskan Switzerland 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti pada Jumaat, sekali gus menempah pertemuan separuh akhir Euro 2020  menentang Itali.

Selepas seri 1-1 sehingga tamat masa tambahan perlawanan di Saint Petersburg, yang menyaksikan Switzerland bermain selama 43 minit dengan kurang seorang pemain, Simon menyelamat dua penalti untuk membantu Sepanyol memburu rekod kejuaraan Eropah yang keempat mereka.

“Ia lumrah bola sepak. Kami selayaknya pemenang,” kata Simon, yang melakukan kesilapan memalukan kemenangan 5-3 ke atas Croatia di pusingan kedua.

“Seperti ketika kami harus memadam kesilapan pada perlawanan terakhir, ia adalah masa yang cepat untuk melupakan kemenangan ini kerana kami berdepan lawan yang sukar pada perlawanan seterusnya.”

Ia adalah kekalahan mengecewakan buat Switzerland, yang mengintai peluang melangkah ke peringkat separuh akhir satu  kejohanan besar buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Sepanyol membuka jaringan awal apabila Denis Zakaria tertolak bola ke pintu golnya sendiri tetapi Switzerland beraksi lebih baik hampir sepanjang permainan sebelum Xherdan Shaqiri, yang menggantikan Granit Xhaka sebagai kapten kerana digantung perlawanan, menyamakan kedudukan pada minit ke-68.

Switzerland hilang seorang pemain ketika berbaki 13 minit permainan apabila pemain tengah, Remo Freuler dibuang padang selepas melakukan terjahan dua kaki ke atas Gerard Moreno.

Penjaga gol Switzerland, Yann Sommer, adalah wira pasukannya ketika  menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti di pusingan kedua dan beliau juga beraksi tangkas menepis beberapa cubaan dalam masa tambahan.

Namun Simon menepis tendangan Fabian Schaer dan Manuel Akanji sementara tendangan Ruben Vargas melambung tinggi pada penentuan sepakan penalti, dengan Mikel Oyarzabal menjaringkan penalti kemenangan.

“Kami harus memulakan perlawanan separuh akhir dengan cergas, yakin dan bersemangat. Kami harus memenangi Euro sekarang,” kata Simon, yang juga penjaga gol kelab Athletic Bilbao.

Selepas menjaringkan 10 gol pada dua perlawanan terakhir, ia kelihatan Sepanyol sudah mengembalikan aksi memberangsangkan di hadapan pintu gol selepas  seri pada dua perlawanan pertama menentang Sweden dan Poland.

Tetapi juara 2008 dan 2012 itu memulakan perlawanan dengan bersemangat apabila membuka jaringan seawal minit kelapan apabila rembatan Jordi Alva terkena kaki Zakaria dan masuk ke pintu gol.

Ia adalah gol sendiri yang ke-10 pada kejohanan kali ini, lebih banyak dari keseluruhan 15 edisi kejohanan.

Alvaro Morata mensia-siakan peluang menamatkan saingan apabila menanduk bola terlalu hampir dengan Sommer sebelum Switzerland mula mengimbangi permainan.

Switzerland mempunyai peluang awal untuk mengikat kedudukan pada minit ke-64 apabila Shaqiri melancarkan serangan pantas tetapi Simon beraksi tangkas menepis cubaan Steven Zuber.

Tetapi pasukan underdog itu berjaya mengikat kedudukan empat minit kemudian apabila Freuler merampas bola muntah selepas kekeliruan di benteng pertahanan Sepanyol sebelum melorong bola kepada Shaqiri untuk melakukan penyudah untuk gol ketiga beliau pada kejohanan ini.

Rentak permainan berubah pada minit ke-77 apabila Freuler dibuang padang kerana kekasaran ke atas Moreno, menyebabkannya dilayangkan kad merah.

Switzerland bagaimanapun berjaya mengekang Sepanyol sehingga ke masa tambahan sebelum gagal mengulangi kejayaan menyingkirkan Perancis dalam penentuan sepakan penalti. — AFP

scroll to top