KUALA LUMPUR: Skuad karate Sabah memulakan cabaran dengan sumbangan satu pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX di Dewan Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam kelmarin.
Pingat emas dimenangi gandingan Clevelence Carlo, Mohd Azhad Haziq Henry dan Mohd Haznil Henry dalam cara kata berpasukan lelaki. Mereka menewaskan pasukan Pahang yang dianggotai Abdul Rahim Shah Zulfaqqar, Muhd Afiq Aiman dan Nasran Nazhan.
Pingat perak pula dimenangi Michell Michelin Linus dalam acara kumite wanita 55kg. Dia tewas kepada peserta Kedah, Madhuri Poovanesan.
Pingat gangsa dimenangi Stanley Dulian (kumite lelaki 55kg), Richal Mattan(kumite lelaki 60kg) dan Leong Jia Chii (kumite wanita 61kg).

Skuad karate Sabah bersama Chef de Mission, Mansur Asun dan pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah, Mohd Asneh Mohd Noor selepas acara di Dewan Kompleks Sukan UiTM, Shah Alam selesai.
Pengurus pasukan Richard Ajak berkata, pencapaian hari ini berkenaan meletakkan mereka dilandasan yang betul untuk memburu sasaran dua pingat emas.
“Kita ada beberapa lagi atlet yang akan bertanding. Pertandingan sukan karate berlangsung sehingga Sabtu (17 September). Kami akan cuba yang terbaik untuk mengotakan sasaran,” katanya ketika dihubungi.
Sambil itu, Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah merangkap Chef de Mission kontinjen SUKMA Sabah, Mansur Asun turut berada di lapangan memberi sokongan kepada skuad karate dan olahraga.
Keseluruhannya Sabah mengutip dua emas, tiga perak dan lima gangsa kelmarin.