KOTA KINABALU: Pasukan Piala Presiden Sabah (B22) mampu seri 2-2 dengan pasukan senior Sabah FC dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas, pada Jumaat.
Skuad Piala Presiden atau dikenali pasukan Sabah FC III berjaya mengikat 1-1 dalam saingan babak separuh masa pertama melalui tandukan pemain tengah, Mohd. Naaim Firdaus Stibin. Manakala gol pasukan senior Sabah FC dijaringkan Harith Naim.
Kedua-dua pasukan terus bersaing di separuh masa kedua dengan sekali lagi skuad Piala Presiden mara di hadapan melalui jaringan tendangan bebas yang dilakukan Mohd. Naaim.
Bagaimanapun, penyerang berpengalaman Bobby Gonzales berjaya menjaringkan gol penyamaan ekoran berlaku babak mencemaskan di luar kotak penalti lawan.
Perlawanan itu kemudian terpaksa dihentikan lebih awal ekoran keadaan hujan lebat.
Kejayaan skuad Piala Presiden mencatat keputusan seri dalam perlawanan itu menunjukkan bahawa corak permainan pasukan muda berkenaan semakin menunjukkan peningkatan dan mampu memberi saingan sihat kepada pasukan senior.
Dalam perlawanan persahabatan di padang sintetik sebelum ini, pasukan senior Sabah FC hanya mampu menang tipis 1-0 kepada skuad Piala Presiden.
Ini bermakna peningkatan keupayaan dalam pasukan muda itu, satu petanda baik untuk pasukan menghadapi cabaran dalam saingan Piala Presiden yang dijadual diadakan antara bulan September atau Oktober tahun ini.
Sementara itu, difahamkan sekurang-kurangnya lapan pemain skuad Piala Presiden telah dicadangkan jurulatih pasukan, Johnny Dominicus untuk pertimbangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipanggil menjalani pemilihan awal skuad B23 kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFC B23 di Uzbekistan nanti.
Mereka ialah Gerald Gadit, Hanafi Tokyo Hashim, Hizaz Lokman, Mohd. Naaim Firdaus Stibin, Shahrizan Saidin, Azlizan Mohd. Azlan, Nureizkhan Isa Jaafar dan Mohd. Faqrul Idris.-WO