SNBJ sedia serap bahang final Piala Malaysia 2022 – MFL

KUALA LUMPUR: Bahang final Piala Malaysia 2022 melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC pada Sabtu ini, semakin dirasai apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang menjadi venue pertembungan itu sudah membuat persediaan rapi bagi mengendalikan saingan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata sesi turun padang meninjau venue itu sudah diadakan pada Khamis lepas, bagi memastikan kelancaran aksi final tersebut.

“Ya, kita sudah melakukan lawatan di situ. Penyelenggaraan kawasan padang serta pemeriksaan keselamatan telah dilakukan, jadi SNBJ memang bersedia untuk menjadi hos final Piala Malaysia 2022.

“Wakil JDT juga menghantar wakil mereka untuk melihat sendiri keadaan venue tersebut sementara wakil dari Selangor akan berbuat demikian dalam masa terdekat. Semuanya dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi di sini.

Mengenai persiapan dilakukan bagi mengelak insiden SNBJ bertukar menjadi ‘bendang’ seperti pada aksi Malaysia dan Bahrain dalam perlawanan kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lepas, Stuart optimis pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) lebih bersedia menangani isu tersebut supaya tidak berulang.

“Apa yang menjadi kesukaran kini ialah untuk meramal keadaan hujan. Namun kami akan cuba buat yang terbaik untuk memaklumkan berhubung keadaan stadium jika berlaku hujan,” katanya.

Selain menjadi venue bagi penganjuran kejohanan sukan lain serta konsert, Stadium Nasional itu dalam masa sama merupakan gelanggang rasmi skuad Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 bermula 20 Dis ini.

Skuad Harimau Selatan sebelum ini mengesahkan kemaraan ke final Piala Malaysia 2022 untuk musim kedua berturut-turut selepas mencatat kemenangan dengan agregat 4-1 berdepan Sabah FC.

Sementara ‘The Red Giants’ selaku juara 33 kali, melangkah ke pentas akhir selepas menang ke atas Terengganu FC dengan agregat 3-2.-BERNAMA.

scroll to top