BINGKOR: Sukan mampu memupuk perpaduan pelbagai kaum dan agama sekali gus mengeratkan tali silaturahim dan muhibbah yang sedia ada selain mampu menjamin kecergasan fizikal dan mental.
Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap ADUN bagi N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, aspek-aspek ini amat penting dalam usaha kerajaan untuk membangunkan modal insan dan seterusnya membina negara bangsa selaras dengan intipati dalam Dasar 1 Murid 1 Sukan dan Falsafah Pendidikan Negara.

SERTAI PERBARISAN… Para pasukan yang menyertai pertandingan perbarisan.
“Kerajaan melalui institusi pendidikan sememangnya mensasarkan dapat melahirkan pelajar yang serba seimbang dari aspek kurikulum mahupun kokurikulum agar mampu mendepani cabaran dunia luar yang semakin hebat setelah tamat persekolahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kejohanan Sukan Olahraga SMK Bingkor (SMKB) kali ke-51, 2022 di Kompleks Sukan Keningau baru-baru ini.

JUARA PERBARISAN…Rumah sukan Cheetah menjuarai pertandingan perbarisan.
Teks ucapa beliau telah dibacakan oleh Mohammad Zaki Zakaria, Pemaju Mukim Kawasan Bingkor.
Sementara itu, Pengetua SMK Bingkor, Hajah Faridah Kamaruddin melahirkan rasa bangga dengan kesungguhan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan oleh semua pelajar di sekolah tersebut sepanjang kejohanan olahraga berlangsung selama dua hari.
Menurutnya, pembelajaran yang membentuk jati diri seorang pelajar di sekolah boleh dilakukan samada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah.
“Sukan adalah antara contoh pembelajaran luar bilik darjah yang mampu membantu membentuk kepimpinan dan disiplin seorang pelajar,” katanya.

JUARA KESELURUHAN….Rumah Leopard muncul sebagai juara keseluruhan. Pengetua sekolah menyampaikan trofi dan hadiah kepada ketua pasukan.
“Melalui aktiviti sukan, pelajar juga belajar tentang erti perjuangan untuk mencapai sebuah kejayaan yang sememangnya memerlukan usaha keras, komitmen dan disiplin yang tinggi,” katanya lagi.
Beliau berkata, seseorang pelajar seharusnya melibatkan diri sekurang-kurangnya satu acara sukan atau permainan bagi menyahut dasar kerajaan dalam Dasar 1 Murid 1 Sukan di sekolah agar seimbang dari aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI).
Ketika berucap, beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut secara langsung dan tidak langsung khususnya warga SMKB.
Dalam kejohanan sukan olahraga itu, sebanyak 12 acara mencatat rekod baharu.

BERGAMBAR BERSAMA….Warga SMKB bergambar bersama seusai acara dijalankan.
Antaranya acara 100M, 200M, 3000M, 110M Lari Berpagar, Lempar Cakera untuk semua kategori Lelaki 18TKB, Lontar Peluru Kategori Lelaki Tingkatan 6, Lontar Peluru kategori perempuan 18TKB dan acara 100M, 200M, serta Merejam Lembing bagi kategori perempuan 18TKB. Dua acara 4x100M berganti-ganti iaitu kategori tingkatan 6 lelaki dan perempuan juga mencatat rekod baharu.
Dalam kejohanan ini, acara perbarisan dimenangi oleh rumah Cheetah, diikuti rumah Jaguar, rumah Puma dan rumah Leopard.
Manakala juara keseluruhan digondol oleh rumah Leopard, diikuti rumah Cheetah, rumah Jaguar dan rumah Puma. – Sumbangan DP