Tahniah buat skuad wushu Sabah

TERBAIK ... skuad wushu bersama Mansur selepas acara sukan itu melabuhkan tirai pertandingan di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

KUALA LUMPUR: Chef de Mission kontinjen SUKMA Sabah, Mansur Asun ucapkan tahniah atas pencapaian luar biasa skuad wushu yang menamatkan cabaran petang kelmarin.

Skuad wushu Sabah yang hanya disasarkan satu pingat gangsa menamatkan cabaran dengan dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

“Terima kasih dan tahniah buat skuad wushu atas pencapaian baik mereka ini. Pencapaian ini tentunya satu suntikan semangat kepada skuad lain dan meletakkan kita di landasan baik dalam pemburuan sasaran 40 pingat emas pada SUKMA ini,” kata Mansur yang juga Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

Sehingga 7.30 malam kelmarin, Sabah telah merangkul tujuh pingat emas, enam perak dan sembilan gangsa untuk berada di kedudukan ketiga di kalangan 15 pasukan.

Mendahului carta kutipan pingat ialah Johor dengan 15 emas, 10 perak dan lima gangsa manakala Melaka di kedudukan kedua dengan sembilan emas, tujuh perak dan lima gangsa.

scroll to top