Tiga minggu tingkat keserasian pemain Sabah FC – Kim Swee

KIM SWEE

KOTA KINABALU: Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mahu memanfaatkan masa tiga minggu yang ada bagi memperbaiki kelemahan pasukan khususnya meningkatkan keserasian semua pemain sebelum perlawanan Liga Super menentang Melaka United pada 5 April depan.

Beliau berkata kemenangan 2-0 dalam perlawanan Piala FA menentang Respect FC malam tadi adalah sesuatu yang baik untuk pasukan, namun bekas jurulatih kebangsaan itu masih tidak berpuas hati dengan prestasi pemain terutama keserasian antara mereka.

“Segi keputusan bagus untuk kita layak ke pusingan seterusnya tetapi segi prestasi masih lagi banyak kelemahan, kalau lihat banyak pertukaran dari skuad utama dan beri peluang kepada pemain lain tetapi belum dapat rentak lebih baik daripada saya jangkakan.

“(Dalam) Perlawanan ini keserasian masih lagi jauh, ramai pemain kesebelasan ditukar, keserasian masih kekurangan, dalam tiga minggu ini saya harap mereka bangkit dan tunjuk lebih keserasian sebelum menentang Melaka nanti,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Likas malam tadi, Sabah FC membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah Ummareng Bacok pada minit ke-50, diikuti gol pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim  menyudahkan hantaran cantik daripada pemain import Park Tae-soo dari Korea Selatan pada minit ke-85.

Sementara itu, mengulas mengenai pemilihan Dominic Tan dalam skuad kebangsaan, Kim Swee berkata pemain pertahanan itu harus memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk meningkatkan prestasi dan menimba pengalaman pada peringkat antarabangsa.

“Suatu peluang cukup baik untuk Dominic (Tan), beliau telah buktikan kepada kita dalam dua perlawanan sebelum ini bermain baik yang memberi peluang untuk bersama pasukan kebangsaan kelayakan Piala Asia nanti,” katanya.

Pada 10 Mac lepas, Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu Kim Pan Gon menamakan 30 pemain termasuk Tan untuk berhadapan Siri Tiga-Negara FAS 2022 di Singapura sebagai persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan berhadapan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura pada 26 Mac dalam perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Singapura, sebelum bertemu pasukan Liga Singapura Albirex Niigata pada 28 Mac di Stadium Jalan Besar.-Bernama.

scroll to top