Tiga Murid SKLT Wakili WP Labuan Ke Pertandingan Kemahiran Bola Baling Online MSSM 2021

WAKIL LABUAN ... (Dari kiri) Nur Arifah Zawani, Awangku Hafizullah dan Awangku Dzul Hazimie.

LABUAN: Tiga murid Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT) telah dipilih mewakili Majlis Sukan Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan (MSSWPL) Sekolah Rendah bagi kategori Lelaki dan Perempuan Bawah 12 tahun ke Pertandingan Kemahiran Bola Baling Online Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM).

Kejayaan membanggakan itu diketuai murid Tahun 6 Alim, SK Lubok Temiang, Nur Arifah Zawani Zaihori yang muncul johan Pertandingan Kemahiran Bola Baling Online Sekolah Rendah Kategori Perempuan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Wilayah Persekutuan Labuan yang diadakan pada 22 September lalu.

Pemain adik beradik, Awangku Hafizullah Awangku Mustakim murid Tahun 3 Alim, menduduki tempat ketiga kategori lelaki.

Manakala abangnya, Awangku Dzul Hazimie Awangku Mustakim yang juga murid Tahun 5 Alim berada di tempat kelima kategori lelaki.

Video-video pertandingan kemahiran bola baling ini telah dihantar pada 2 Oktober lalu dan sedang dalam penilaian di peringkat MSSM.

Pasukan Bola Baling Online SK Lubok Temiang dilatih oleh Maizon Abdullah, Aminah Junir dan Venessa Joseph Sagar Singh.

SEBELUM BERLATIH … Maizon (dua dari kiri) bersama Arifah, Hazimie dan Hafizullah gigih berlatih sebagai persediaan pertandingan tersebut.

Menurut Maizon Abdullah, pertandingan itu diadakan untuk meningkatkan kemahiran dan bakat murid.

Selain itu, untuk meningkatkan kemahiran murid dalam menguasai teknik-teknik Bola Baling.

“Pertandingan Kemahiran Bola Baling Online juga bertujuan untuk menyuntik semangat kesukanan dalam diri murid,”katanya ketika dihubungi di sekolah itu, kelmarin.

Maizon berharap agar penganjuran Bola Baling ini dapat menggilap bakat murid dalam bersukan serta memberi peluang kepada mereka untuk menempa nama ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu, Guru Besar SK Lubok Temiang, Haji Adam Abd Rahim melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian memberangsangkan murid-murid sekolah itu.

Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada jurulatih yang sanggup berkorban masa dan tenaga walaupun dalam kesibukan mereka menjalankan tugas hakiki iaitu PDPR pada musim pandemik ini.

“Ucapan terima kasih dan tahniah juga kepada ketiga-tiga murid dan ibu bapa yang memberi kebenaran dan sentiasa menyokong aktiviti anak-anak mereka,”katanya ketika dihubungi di pejabatnya.

Pertandingan Kemahiran Bola Baling Online MSSWPL itu dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL).

scroll to top