TANJUNG MALIM: Langkah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memeterai Memorandum Persetujuan (MoA) dengan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) baru-baru ini dilihat sebagai langkah yang terbaik untuk memperkasa aspek pengajaran dan pendidikan di bawah pembangunan sukan ragbi.
Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata, selaku universiti yang berteraskan pendidikan adalah menjadi tanggungjawab UPSI untuk menyediakan platform yang terbaik bagi penggiat-penggiat sukan ragbi agar dapat dibekalkan dengan ilmu dan persediaan yang mencukupi bagi membantu persediaan pasukan dipelbagai peringkat.
Beliau berkata hasil daripada perjanjian itu, beberapa siri seminar secara dalam talian (online) giat diadakan selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.
Siri program dalam talian, katanya, sentiasa diperkemas bagi memberi manfaat kepada penggiat dan komuniti sukan ragbi.
Beliau berkata turut diadakan Bengkel Latihan Persediaan Pengadil Ragbi Malaysia sebanyak tiga siri dari 12 hingga 14 Julai yang membabitkan panel-panel kepakaran yang terdapat di institusi pengajian tinggi seperti aspek psikologi, aspek pemakanan dan aspek latihan fizikal.
Menurut Md Amin siri-siri yang dijalankan itu juga diharap dapat memberi pendedahan yang terbaik bagi penggiat sukan ragbi untuk diaplikasikan sepenuhnya terhadap pasukan kelak.
“Beberapa program dalam talian yang memberi pengkhususan dalam aspek lain seperti suaian fizikal juga siap dirancang untuk memberi pendedahan dan kesedaran betapa pentingnya aspek ini dalam sukan ragbi.
Bagi menjayakan aspirasi itu, Pengarah Akademi Ragbi Malaysia, Ahmad Effendy Abdul Razak berpendapat program-program dalam talian itu sedikit-sebanyak dapat membantu komuniti ragbi Malaysia untuk terus menyediakan diri dengan informasi dan ilmu terkini dalam sukan ragbi yang juga diperkemaskini selaras dengan persatuan sukan dunia (World Rugby).
“Saya berharap platform-platform dalam talian seperti ini dapat diteruskan di sepanjang pandemik yang melanda ketika ini agar pengisian program dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh penggiat ragbi sekalian seluruh negara,” katanya.
Beliau turut berharap agar pengisiannya berbentuk program yang lengkap dan berinformasi selaras dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub Teknikal yang utama di Asia Tenggara pada masa akan datang.