Usaha cungkil bakat muda bola sepak di Sabah perlu terus dipergiat

KOTA KINABALU: Usaha mencungkil bakat muda bola sepak di Sabah perlu dipergiat bagi menarik lebih ramai golongan belia menceburi sukan itu, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata pendedahan dan latihan yang berkualiti perlu bermula dari peringkat muda lagi demi melahirkan lebih ramai pemain pelapis bola sepak terbaik di Sabah.

“Saya mahu melihat penekanan diberikan kepada pembangunan belia dalam sukan khususnya bola sepak.

“Sabah FC berada dalam kedudukan terbaik untuk menyediakan platform ini dan memastikan pemain muda dilatih oleh jurulatih terbaik,” katanya ketika melancarkan kit pasukan Sabah FC bagi Liga Super musim ini di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC Khairul Firdaus Akbar Khan, Pengarah Sabah FC Datuk Dr Jelani Hamdan dan Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee.

Mengenai kit baharu pasukan Sabah FC, Hajiji gembira kerana ia menggabungkan elemen tempatan seperti Linangkit dan kontur Gunung Kinabalu, yang dilihat mampu menjadi antara cara menjana pendapatan menerusi penjenamaan pasukan.

Jersi tempat sendiri Sabah FC berwarna merah dinamakan sebagai ‘My Skin’ menggunakan elemen Linangkit iaitu corak sulaman tradisi masyarakat Sabah manakala ‘Dua Belas’ berwarna biru muda bagi jersi tempat lawan menggunakan kontur Gunung Kinabalu.

scroll to top