SPIELBERG BEI KNITTELFELD: Pemandu pasukan Red Bull, Max Verstappen meraih kemenangan ketiga berturut-turut ketika bermula di petak pertama pada perlumbaan Grand Prix Austria dan mengukuhkan kedudukan beliau untuk memburu kejuaraan dunia, dengan juara bertahan, Lewis Hamilton, hanya menamatkan perlumbaan di tempat keempat dan berkata pasukannya (Mercedes) ternyata “terlalu jauh dari Red Bull”.
Tempat kedua pada perlumbaan kesembilan musim ini dimenangi oleh rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas dan tempat ketiga dimenangi Lando Norris dari pasukan McLaren, yang tidak bernasib baik kerana didenda penalti lima saat.
Kemenangan terbaharu Verstappen semakin menamatkan penguasaan Hamilton dalam kategori pemandu dan membangkitkan suasana pesta dengan kapasiti penuh pertama pada perlumbaan Formula Satu (F1) sejak pandemik COVID-19, dengan lebih 100,000 penonton hadir dengan warga bendera kebangsaan Belanda iaitu warna jingga.
“Untuk melihat begitu banyak warga jingga di tempat duduk penonton adalah sangat hebat, ia motivasi tambahan, terima kasih,” kata Verstappen ketika memberitahu penonton bersorak di litar Spielberg, litar milik pasukan Red Bull.
“Kereta cukup hebat,” kata pemandu berusia 21 tahun itu dan meningkatkan peluang beliau untuk menafikan Hamilton kejuaraan dunia yang kelapan.
“Ia gila – saya agak kagum dengan diri saya sendiri hari ini. Saya tidak menjangkakannya. Sangat gembira dengan semua orang yang menghasilkan kereta hebat ini.”
Selepas kemenangan kelima musim ini, Verstappen kini mengumpul 182 mata untuk berada di tangga teratas keseluruhan, 32 mata di hadapan Hamilton menjelang perlumbaan Grand Prix British bulan hadapan.
Hamilton, tanpa kemenangan sejak di Barcelona pada awal bulan Mei, meramalkan selepas sesi ujian masa kelayakan pada Sabtu bahawa mengatasi Verstappen kelihatan sukar.
Selain dari kepantasan luar biasa kereta Red Bull, kerosakan kepada kereta Hamilton pada lewat perlumbaan di sini menyebabkan beliau terlepas peluang menduduki tempat kedua.
“Kami sangat jauh dari Red Bull. Kami perlu kembali berfikir. Mereka membawa banyak naik taraf dalam beberapa perlumbaan terakhir dan kami tidak melakukannya,” kata Hamilton.
Verstappen menikmati perlumbaan sempurna di Austria dengan sorakan penonton hadir untuk menyaksikan kemungkinan muncul juara dunia baharu.
Beliau memulakan perlumbaan dengan sempurna tetapi kereta keselamatan dimasukkan selepas Esteban Ocon terbabas dari perlumbaan apabila berlanggar dengan pemandu Alfa Romeo, Antonio Giovinazzi di selekoh ketiga.
Selepas perlumbaan disambung semula, Verstappen berjaya mengekalkan rentak dengan Norris terpaksa menangani cabaran Sergio Perez, rakan sepasukan Verstappen untuk kedudukan kedua perlumbaan.
Perez, pada perlumbaan ke-200 beliau, menerima padah kerana mengambil risiko dan terbabas sedikit dari litar, menyebabkannya tercicir ke kedudukan ke-10.
Insiden ini menyebabkan pegawai perlumbaan membuat siasatan dan pada pusingan ke-20, Norris didenda penalti lima saat kerana menyebabkan Perez terbabas.
Selepas semua kelompok hadapan memasuki pit buat kali pertama, Verstappen sudah berkelebihan 5 saat di hadapan Hamilton dengan Bottas naik ke kedudukan kedua.
Tetapi dengan Hamilton mengalami masalah pada keretanya, Bottas diarahkan untuk memotong Hamilton untuk membawa cabaran Mercedes.
Namun, Verstappen ternyata semakin jauh di hadapan dan tidak menoleh ke belakang lagi untuk mencerahkan peluang beliau memenangi kejuaraan dunia sulungnya dan menafikan Hamilton mengatasi rekod idola beliau Michael Schumacher, yang berkongsi tujuh kejuaraan dunia dengan Hamilton. — AFP