191 pegawai sertai Seminar Sasaran Penting Negara Kebangsaan 2022

KENANGAN...Abdul Halim (depan, tengah) bergambar kenangan bersama jemputan dan peserta seminar.

KOTA KINABALU : Seramai 191 pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan dan instalasi menyertai Seminar Sasaran Penting Negara Peringkat Kebangsaan 2022.

Seminar sehari itu anjuran Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Petronas bertujuan memberikan pemahaman yang lebih jelas tentang peranan dan tanggungjawab terhadap keselamatan perlindungan sasaran penting.

Dalam seminar tersebut, lima kertas kerja dibentangkan antaranya, “Ancaman Terrorism Terhadap Aset Strategik Negara : Pantai Timur Sabah” oleh Polis DiRaja Malaysia, “Offshore Threat Towards National Interest” oleh PETRONAS dan “Pengukuhan Polisi Pengurusan Sasaran Penting Negara” oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

Majlis perasmian seminar berkenaan disempurnakan oleh wakil Menteri Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman yang mengingatkan kepentingan kolaborasi sektor awam dan swasta dalam menyemarakkan lagi usaha memperkasa daya tahan sasaran penting, seiring tema seminar tahun ini iaitu “Revolusi Digital Perkasa Daya Tahan Sasaran Penting Negara”.

Beliau turut menggesa agar pemilik atau penghuni sasaran penting agar sentiasa bersedia dengan kepelbagaian kemungkinan serta cabaran dalam menghadapi revolusi digital dan isu sekuriti makanan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Jabatan Perdana Menteri, Rahimi Ismail dan Pengurus Besar Kanan Keselamatan Kumpulan PETRONAS, Datuk Sri Zulkifli Abdullah.-PENERANGAN.

scroll to top