Ahli Parlimen Menghadap Agong Hari Ini Untuk Sahkan Akuan Bersumpah

KUALA LUMPUR: Sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini adalah untuk mengesahkan akuan bersumpah yang menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen yang dicalonkan sebagai perdana menteri.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ia bagi membolehkan Seri Paduka menentukan sama ada akuan bersumpah berkenaan dibuat secara sukarela atau lain-lain.

“Kalau saya sendiri, saya sukarela cadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri dan saya yakin dengan keupayaan beliau.

“Saya difahamkan sebelum ini hanya kumpulan yang melebihi paras kemenangan sahaja yang dijemput (ke Istana Negara) dan mereka yang menyokong calon kedua daripada maklumat yang saya ada, mereka tidak dijemput menghadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn hari ini.

Terdahulu, sekumpulan Ahli Parlimen UMNO termasuk bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menaiki bas menuju ke Istana Negara bagi menghadap Al-Sultan Abdullah.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata sesi menghadap Seri Paduka dilakukan secara berperingkat dengan kumpulan pertama pada pukul 10 pagi, kedua pada 11.10 pagi, manakala kumpulan ketiga pada 2 petang, keempat 3.10 petang dan kumpulan kelima pada pukul 4.20 petang.

Ahmad berkata beliau mendapat undangan untuk menghadap Seri Paduka malam semalam menerusi Setiausaha Dewan Rakyat.

“Saya juga diberikan satu senarai oleh Speaker Dewan Rakyat pagi ini, sejumlah 114 Ahli Parlimen dijemput menghadap,” katanya.

Pada Selasa (17 Ogos), Ahli-ahli Dewan Rakyat diminta menyerahkan satu surat akuan bersumpah untuk menamakan seorang calon perdana menteri kesembilan melalui notis yang ditandatangani Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun.

Notis berkenaan bagi membolehkan seorang daripada mereka yang mempunyai kepercayaan majoriti dilantik sebagai perdana menteri susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos.

Surat akuan itu perlu diserahkan kepada pihak Istana Negara selewat-lewatnya sebelum 4 petang semalam.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jempol Datuk Salim Sharif berkata pada sesi menghadap itu, Seri Paduka menitahkan setiap yang hadir untuk memperkenalkan diri serta menyatakan nama pemimpin yang disokong.

“Perjumpaan berlangsung lebih kurang satu minit untuk setiap Ahli Parlimen,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan mengesahkan bahawa titah menghadap ke atas Seri Paduka bertujuan untuk pengesahan akuan bersumpah (SD).

“Tuanku nak tahu siapa yang disokong dan nak pastikan SD yang kita buat adakah sukarela atau sebaliknya,” katanya dan menambah bahawa Ahli Parlimen yang dipanggil adalah kumpulan yang menyokong Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO sebagai perdana menteri kesembilan.

Ahli Parlimen Tanjung Piai Datuk Seri Dr Wee Jack Seng dari MCA mengesahkan beliau turut menerima undangan ke Istana Negara bagi mengesahkan surat akuan bersumpah semalam.

Ahli-ahli Parlimen dari Parti Gabungan Sarawak (GPS) pula menyertai majlis menghadap itu secara maya dari sebuah hotel di Kuching untuk tujuan sama.

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dalam perjumpaan itu, Seri Paduka tidak menzahirkan bila akan mengumumkan nama perdana menteri yang baharu.

Ketika dihubungi, Timbalan Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan perjumpaan setiap Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong hanya untuk menyerahkan serta mengesahkan sokongan masing-masing melalui SD.

“Tiada titah lain daripada Seri Paduka,” katanya.

Sementara itu, blok Pakatan Harapan (PH) setakat ini tidak menerima panggilan menghadap Seri Paduka berkaitan pencalonan Perdana Menteri baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddn Yassin Isnin lepas.

Pengarah Komunikasi Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata tiada sebarang jemputan diterima pakatan itu untuk ke Istana Negara.

“Belum lagi setakat ini, nanti jika ada, kita akan maklumkan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Presiden Amanah Mohd Sabu ketika manjawab mesej melalui aplikasi Whatsap bagi isu sama berkata: “Belum lagi,”.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bangi (DAP) Ong Kian Ming menyatakan pembangkang tidak dipanggil ke Istana Negara pagi ini dalam satu ciapan Twitternya.

”Morning guys! In case anyone is wondering, no, my colleagues and I didn’t get any calls to go to the Palace today… Have a nice day! (Selamat pagi semua, Mungkin ada yang tertanya-tanya, tidak, saya dan rakan-rakan tidak menerima jemputan untuk ke Istana hari ini … Selamat menjalani hari yang indah!), katanya.

Beberapa buah bas dan kenderaan dilihat membawa Ahli-ahli Parlimen dilihat memasuki Pintu Dua Istana Negara sejak pagi ini dan dijadualkan menghadap Seri Paduka berkenaan untuk pengesahan surat akuan bersumpah bagi menyatakan sokongan kepada Ahli Parlimen yang mendapat sokongan untuk menjadi perdana menteri.-Bernama.

scroll to top