Bola sepak: Sabah seri 2-2 dengan Terengganu

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak yang memulakan cabaran kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) XX 2022 mencatat keputusan seri 2-2 dengan Terengganu pada saingan Kumpulan C di Stadium UKM Bangi, petang tadi (13 September).

Sabah terlepas peluang keluar sebagai sebagai pemenang selepas suatu ketika mendahului 2-0 hasil jaringan Mohd Nazemizan Naslon pada penghujung babak pertama dan awal babak kedua.

Terengganu merapatkan kedudukan menerusi jaringan Muhd Safwan Mazlan seterusnya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Muhd Muslihuddin Atiq.

Keputusan itu mewajibkan Sabah menang perlawanan terakhir menentang Kelantan pada 17 September untuk merebut salah satu dari dua tempat mewakili Kumpulan C ke suku akhir. Kumpulan C hanya terdiri dari tiga pasukan.

Ketua jurulatih Sabah, Adzrein Harun berkata, anak didiknya gagal mempertahankan kelebihan apabila dihukum menerusi serang balas pantas lawan terutama dari arah sayap kiri dan kanan.

Beliau berharap persembahan lebih baik dan konsisten pemain pada perlawanan terakhir nanti.

“Terengganu akan menentang Kelantan pada 15. Kita akan manfaatkan dengan menyaksikan perlawanan itu untuk dapat idea bagaimana menghadapi Kelantan nanti,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Turut menyaksikan dan memberi sokongan moral kepada pasukan Sabah ialah warga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah serta Majlis Sukan Negeri Sabah diketuai Setiausaha Tetap KBS Sabah, Mansur Asun yang juga Chef de Mission kontinjen SUKMA Sabah.

Sambil itu, sukan berbasikal menawarkan dua pingat emas pertama SUKMA XX menerusi acara ujian masa individu lelaki 40km dan ujian masa individu wanita 30km esok (14 September).

Sabah diwakili Lim Chun Kiat dan Pang Hao Zhe dalam acara ujian masa individu lelaki 40km.

Ends

scroll to top