KOTA KINABALU: Dua wanita yang melakukan aktiviti ‘hiking’ Bukit Helang di Kampung Kebagu, Manggatal, di sini, tersesat hampir empat jam sebelum ditemui selamat, semalam.
Kedua-dua mangsa berusia 26 dan 27 tahun itu berjaya ditemui kira-kira jam 8.30 malam selepas pasukan bomba melancarkan operasi mencari sebaik menerima maklumat.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.15 petang.
Katanya, panggilan dibuat salah seorang mangsa selepas gagal menemui jalan keluar ketika menuruni bukit berkenaan sejak jam 4 petang.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bergegas ke lokasi bagi menjalankan kerja mencari dan menyelamat.
“Pencarian yang turut dibantu anggota polis dan penduduk kampung akhirnya menemui mangsa dalam keadaan selamat pada 8.33 malam di kaki Bukit Helang,” katanya di sini, kelmarin.
Menurutnya, pasukan bomba mengiring kedua-dua mangsa turun ke bawah bukit dengan selamat seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 9.03 malam,” katanya.