Hon Jian hampir pasti pasangan baharu Sze Fei – Rexy

KUALA LUMPUR: Pemain beregu lelaki negara, Goh Sze Fei hampir pasti digandingkan dengan pemain beregu campuran, Choong Hon Jian.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Rexy Mainaky akan menghubungi jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto hari ini bagi mendapatkan ‘restu’ rakannya itu untuk membenarkan Hon Jian dipasangkan dengan Sze Fei selepas ini.

“Apa yang boleh saya katakan kemungkinan gandingan Sze Fei bersama Hon Jian antara 80 hingga 90 peratus.

“Saya akan hubungi Nova untuk tanya adakah Hon Jian bersedia main dua acara atau sebaliknya. Namun, berdasarkan pandangan Tan Bin Shen (beregu lelaki) dan Hoon Thien How (beregu wanita), mereka boleh dipadankan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan, di sini kelmarin.

Memandangkan Sze Fei lebih berperanan sebagai pengantur serangan di dalam gelanggang, Rexy berkata anak buahnya itu memerlukan gandingan yang memiliki pukulan kencang seperti bekas pasangannya Nur Izzuddin Rumsani dan ciri-ciri tersebut dilihat ada pada Hon Jian.

Pakar beregu Indonesia itu berkata malah, gandingan Sze Fei-Hon Jian menampilkan prestasi memberangsangkan apabila menumpaskan pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun pada sesi latihan baru-baru ini.

Hon Jian sebelum ini pernah bermain dalam kategori beregu lelaki dan dipasangkan bersama Wei Chong serta pemain beregu campuran negara, Chen Tang Jie.

Dalam pada itu, Rexy masih mengunci mulut mengenai pasangan baharu Nur Izzuddin dan hanya memaklumkan akan berjumpa dengan pemain itu serta pasangan baharunya pada Isnin ini.

Beliau juga memberi jaminan bahawa Wei Chong-Kai Wun tidak akan dipecahkan untuk digandingkan bersama Nur Izzuddin selepas ini.

“Saya janji akan umumkan pasangan baharu (Sze Fei dan Nur Izzuddin) Selasa ini,” katanya.

Minggu lepas, Rexy mengesahkan Sze Fei-Nur Izzuddin menyatakan hasrat untuk berpecah dalam satu perjumpaan, selepas digandingkan sejak 2016.

Dalam pada itu, pemain beregu wanita nombor satu negara, M. Thinaah berkata beliau dan pasangannya, Pearly Tan, ketika ini dalam proses membina semula momentum terbaik selepas tampil dengan prestasi memberangsangkan biarpun terkandas di peringkat separuh akhir dalam dua kejohanan terakhir iaitu Terbuka India dan Masters Indonesia, bulan lepas.

“Kami hampir mencapai tahap prestasi yang diinginkan tetapi masih banyak ruang yang boleh diperbaiki terutama dari segi kombinasi, corak permainan dan komunikasi,” katanya.

Pada Terbuka India, Pearly-Thinaah tumpas 14-21, 16-21 kepada pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida dan sekali lagi dikecewakan gandingan Jepun, kali ini menerusi kekalahan kepada Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, 14-21, 19-21 dalam Masters Indonesia.

Biarpun gembira dengan pencapaian mereka berada pada ranking kelima dunia ketika ini, Pearly pula berkata mereka akan terus bekerja keras untuk melonjakkan prestasi pada masa depan.-BERNAMA

scroll to top