KOTA MARUDU: Ketua Umno Sabah Bahagian Kota Marudu Datuk Ismarah Madcasar menyarankan ahli-ahli Umno di bahagian ini agar mengukuhkan jalinan silatulrahim dan semangat setiakawan dalam memperjuangkan parti Umno.
Beliau mengingatkan agar ahli tidak melupakan pemimpin pemimpin terdahulu yang banyak berjasa memperjuangkan Umno sejak diasaskan oleh Datuk Onn bin Jaafar pada 11 Mei 1946.
Katanya, sebagai tulang belakang kerajaan, Umno banyak berjasa kepada kepada rakyat di negeri ini, antaranya memperjuangkan bidang pendidikan sehinggalah tertubuhnya Universiti Malaysia Sabah (UMS) demi memperbanyakkan lagi peluang pendidikan untuk anak-anak Sabah.
Ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kota Marudu di Mini Dewan GL Hotel dekat sini, Ismarah menekankan betapa pentingnya kesetiaan dalam perjuangan Umno.
Walaupun berdepan banyak perkara sukar tetapi dengan adanya kesetiaan dalam perjuangan, parti terus kukuh dalam membela dan memperjuangkan kepentingan rakyat di negara ini.
“Sehubungan itu, kita teruskan agenda perjuangan kita untuk memperkukuhkan semangat setiakawan dan menyantuni ahli-ahli di semua peringkat demi kestabilan parti dan memastikan Umno terus bangkit,” katanya.
Menurutnya, kesetiaan dalam perjuangan amatlah diperlukan untuk memastikan keutuhan parti.
“Kita jangan menjadi seperti pemimpin tertentu yang keluar masuk parti, melompat dari satu parti ke parti yang lainan sehingga mereka digelar pengkhianat kepada parti, khianat kepada pemimpin dan rakan seperjuangan mereka sendiri,” katanya sambil berharap pemimpin Umno terus konsisten memperjuangkan parti dan rakyat.
Sementara itu, tujuh perwakilan Umno bahagian Kota Marudu akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno Pusat di Kuala Lumpur Disember ini.

CENDERA KENANGAN… Datuk Ismarah (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Haji Akram Pemerhati Umno Negeri merangkap Ketua Umno Bahagian Kudat sambil disaksikan Salmi dan Muslie dari kanan Syarifah Lydia dan Arshad
Mereka yang terpilih ialah Kee Maidin Kee Haji Abdul Jalil, Datu Abdul Ludin Datu Boyoh, Milih bin Dampin, Muslie Haji Oting, Sagolah Chupoi, Datu Bidin Datu Saruddin dan Mohd. Hariss Pangeran Samit.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Umno Bahagian Kudat, Haji Akram Haji Ismail selaku pemerhati persidangan, Naib Ketua Umno Bahagian Muslie Haji Oting, Setiausaha Umno Bahagian Rahim Omar, Bendahari Umno Bahagian Kee Maidin Kee Haji Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Salmi Salim, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Arshad Mohd. Yusof, Ketua Pergerakan Puteri Umno Bahagian Syarifah Lydia Sharif Dandan serta Ahli Jawatankuasa yang lain.