Lima lelaki ditangkap, memburu haiwan melebihi kuota

RAMPAS: Dua bangkai haiwan disyaki rusa dan peralatan pemburuan yang dirampas.

PAITAN: Pasukan penguatkuasaan  bersepadu antara Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dan pasukan PROTECT, Jabatan Perhutanan Sabah berjaya mengesan aktiviti pemburuan yang menyalahi Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 di daerah Paitan.

Pengarah JHL Sabah Augustine Tuuga berkata, dalam operasi sekatan jalan raya yang dilaksanakan di jalan Paitan, pasukan penguatkuasaan berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua bangkai haiwan disyaki rusa ditemui di tempat penyimpanan barang, belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, lima lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 55 tahun yang berada dalam kenderaan terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, antara barang yang dirampas adalah dua bangkai haiwan dilindungi disyaki rusa serta peralatan pemburuan lain yang ditemui dalam kenderaan berkenaan.

Kes akan disiasat oleh JHL Sabah dibawah Seksyen 25 Sub-seksyen 2 (b), iaitu memburu melebihi kuota yang dinyatakan dalam lesen memburu.

Jika didapati bersalah, orang yang dituduh boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sehubungan dengan kes ini, Augustine menasihatkan orang awam supaya tidak menjalankan aktiviti pemburuan tanpa lesen memburu yang sah yang dikeluarkan oleh JHL Sabah.

Tegasnya, pemburu berlesen juga dinasihatkan untuk patuh terhadap syarat-syarat yang dinyatakan dalam lesen seperti tempoh sah memburu, kawasan pemburuan dan bilangan haiwan yang hendak diburu.

“Usaha kerjasama yang strategik antara pasukan PROTECT Jabatan Perhutanan dan JHL akan diteruskan bagi membanteras pemburuan haram dan eksploitasi hidupan liar terutama di kawasan hutan simpan.

“Diharap dengan usaha sebegini, hidupan liar di Sabah sentiasa dapat dilindungi dari jenayah hidupan liar,” katanya.

scroll to top