Lyon seri 1-1 dengan Toulouse

AKSI ...Sebahagian dari babak-babak aksi perlawanan Ligue 1 Perancis di antara Lyon dan Toulouse di Stadium The Groupama. — Gambar AFP

PARIS: Lyon menamatkan empat kekalahan berturut-turut namun hanya mampu seri 1-1 di tempat sendiri menentang pendatang baharu Ligue 1 Perancis, Toulouse pada Jumaat.

Pemain pinjaman, Tete, meletakkan Lyon di hadapan seawal minit pertama tetapi walaupun pasukan tuan rumah mengasak bertubi-tubi untuk mencari gol kedua, kegembiraan mereka berakhir dengan gol penyamaan oleh pemain gantian, Rafael Ratao pada minit ke-71.

Selepas gagal layak ke aksi bola sepak Eropah buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun, Lyon memulakan musim dengan memberangsangkan apabila mengumpul 13 dari kemungkinan 15 mata dan membangkitkan harapan untuk kembali ke Liga Juara-Juara pada musim hadapan.

Namun kekalahan kepada Lorient, Monaco, Paris Saint Germain (PSG) dan Lens menyaksikan skuad kendalian Peter Bosz tercicir ke tangga ketujuh liga, dengan tekanan meningkat ke atas Bosz apabila ahli perniagaan dari Amerika Syarikat (AS), John Textor membuat persediaan untuk secara rasmi membeli pembelian kelab itu.

Bosz kembali bersemangat menjelang perlawanan menentang Toulouse apabila Moussa Demele, Corentin Tolisso, Castello Lukeba dan Malo Gusto sudah kembali dari kecederaan dan mereka memulakan permainan dengan meyakinkan.

Satu sentuhan kemas pada minit pertama menyaksikan Alexandre Lacazette melorong bola kepada Tete, yang menyertai kelab pada akhir bulan Mac secara pinjaman dari kelab Ukraine, Shakhtar Donetsk.

Rembatan Tete terkena Kevin Keben dan masuk ke pintu gol Toulouse untuk gol kelimanya dari 10 perlawanan liga musim ini.

Toulouse mula mencipta peluang dengan Stijn Spierings melihat rembatannya dari luar kotak penalti terkena palang, dua minit sebelum rehat.

Ratao dimasukkan pada minit ke-58 untuk menggantikan Thijs Dallinga dan mula mencemaskan pertahanan Lyon.

Pemain dari Brazil itu mendapat ganjaran apabila mengambil sepenuh peluang dari kekeliruan di benteng pertahanan Lyon selepas gerakan cantik Zakaia Aboukhlal, sebelum menewaskan penjaga gol Anthony Lopes untuk gol penyamaan. — AFP

scroll to top