Palestin tetap tegas menentang penjajahan Israel – Presiden Abbas

Presiden Abbas

GAZA (Palestin): Presiden Palestin Mahmoud Abbas pada Ahad berikrar untuk kekal teguh menentang penjajahan Israel yang berlanjutan selama beberapa dekad.

Dalam ucapannya menerusi siaran televisyen di bandar Ramallah, Tebing Barat, Abbas berkata pencerobohan Israel akan ditentang dengan kaedah meluaskan penentangan secara aman termasuk tindakan di peringkat antarabangsa, lapor Agensi Anadolu.

Rakyat Palestin tidak akan menyerah dan “akan tetap teguh menentang pendudukan (Israel),” katanya.

Pihak Berkuasa Palestin akan meneruskan usaha di peringkat antarabangsa “untuk memaksa Israel menamatkan pendudukan dan menghentikan pencerobohannya,” dan meminta Israel bertanggungjawab atas pencabulannya terhadap Palestin, katanya.

“Setiap jam, Israel melakukan jenayah dan pencabulan terhadap rakyat (Palestin), tanah dan tempat suci,” kata pemimpin Palestin itu.

Ketegangan memuncak beberapa minggu kebelakangan ini susulan serbuan berterusan Israel menahan “rakyat Palestin yang dikehendaki” atau untuk merobohkan rumah milik rakyat tempatan.

Serbuan itu mencetuskan pertempuran dengan penduduk Palestin hingga menyebabkan beberapa kematian.-BERNAMA.

scroll to top