Pemain dituntut sekat percubaan pukulan sudut penalti lawan

Skuad Hoki Remaja Lelaki Negara / FOTO FB MalaysianHockeyConfederation.

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim mahu anak buahnya memperbaiki kelemahan mengekang pukulan sudut penalti pasukan lawan menjelang aksi pembukaan bertemu Australia pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) ke-10, minggu depan.

Ini kerana, beliau berkata dalam aksi persahabatan menentang pasukan dari Oceania itu di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini, menyaksikan skuad negara tumpas 1-4, kesemua gol pasukan lawan adalah menerusi pukulan sudut penalti.

Muhammad Amin mengakui kualiti permainan anak buahnya masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kuasa besar dalam sukan hoki itu.

“Apapun, saya puji pemain sebab seperti semua sedia maklum hanya empat pemain yang pernah beraksi di pentas antarabangsa. Mereka kembali bangkit pada suku ketiga dan keempat (terakhir) untuk memberi saingan.

“Tetapi, kalau tengok empat gol dari Australia, semua daripada pukulan sudut penalti, jadi saya kena kaji kembali video untuk perbaiki kelemahan pemain, dan mereka (pemain) kena cepat menyesuaikan diri sebab esok kita masih ada perlawanan persahabatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Empat pemain Piala Dunia Hoki Remaja 2021 ialah Muhammad Amirul Haniff Mamat, Alfarico Lance Liau Jr, Muhammad Syawal Abd Razak dan Muhammad Faris Harizan.

Pada aksi Selasa, Cambell Geddes meletakkan Australia di hadapan seawal minit kelapan, sebelum David Hubbard menggandakan jaringan empat minit kemudian, sebelum Cooper Burns meledak jaringan pada minit ke-18.

Australia terus garang melakukan serangan bertali-arus dan berjaya menyumbat gol keempat menerusi Geddes pada minit ke-51, sebelum Malaysia menjaringkan gol sagu hati melalui jaringan padang Muhammad Hazreeq Alief Rosli pada minit ke-55.

Skuad muda negara bakal berdepan satu lagi aksi pemanas badan menentang Great Britain di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.

SOJC ke-10 berlangsung dari 22 hingga 29 Okt ini di Johor Bahru.

Selepas aksi pembukaan menentang Australia pada (23 Okt), Malaysia akan menentang Afrika Selatan (25 Okt), Great Britain (26 Okt) dan Jepun pada 28 Okt.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjuarai edisi pertama SOJC pada 2011. -BERNAMA.

scroll to top