KUALA LUMPUR: Persatuan Menembak Sabah (SSA) menyenaraikan 15 penembak junior bagi menghadapi SUKMA XX di sini.
Sukan menembak akan berlangsung di Lapang Sasar Menembak Subang pada 16-24 September.
Presidennya, Tan Sri TC Goh berkata, senarai itu termasuk Dexter Dean Juanis sebagai atlet termuda berusia 13 tahun manakala Nurhafizah Didin ialah atlet terus berusia 19 tahun.
Dexter ialah salah seorang dari tiga anggota pasukan Air Rifle lelaki yang turut dianggotai Ravanelli Rablin, 16, dan Mohamad Hamizan Mohd Firdaus, 17.
Nurhafizah pula ialah bertang dalam acara Air Rifle bersama Larissa Regina John Tillon, 17, Briana June Daya, 16, Amber Weysha Walter John, 15, Erica Jade Juniol, 17, dan Nur Aina Natasya Anderson, 15.
Turut dalam senarai skuad itu ialah Crystal Leyra Marcellus, 16, Bellina Odette Daya, 15, dan Marion Evra Rablin, 16, semuanya akan menyertai acara Air Pistol wanita dan Sport Pistol wanita.
Xavi Alesandro Nelson, 18, Nicholas Dean Denis, 18, dan Andre Walter John, 17 pula akan bertanding dalam acara Air Pistol dan 50m Pistol lelaki.
Skuad menembak Sabah berlatih di bawah bimbingan jurulatih Denis Egoh @ Ajoh dan penolong jurulatih Hafizol Ayob.
“Ini adalah pertandingan rasmi kelima disertai selepas SSA dihidupkan semula pada 26 Disember, 2021.
“Salah satu pertandingan yang disertai SSA adalah edisi kedua Kejohanan Menembak Junior Kebangsaan Sportexcel/Milo/NSAM yang berlangsung di venue sama sukan menembak di Sukma, Jun lalu.
“SSA juga menghantar 15 penembak junior pada kejohanan itu “ kata Goh dalam kenyataan medianya semalam selepas bertemu skuad menembak di Kota Kinabalu.
Turut bersama ialah naib presiden SSA Yong Yit Fui, pengerusi jawatankuasa pembangunan junior, Yong Yee Lik dan Denis.
Sambil itu, SSA sedang berusaha menambah atletnya agar ia mempunyai kelompok besar untuk membuat pemilihan penembak berbakat.
“SSA sasar melatih 48 penembak untuk memampukan kami mencapai pingat emas semukategori termasuk bagi senjata .22 dan .177.
“SSA berusaha menyediakan lebih banyak latihan kepada atlet junior..ia adalah sebahagian daripada usaha persatuan mencari bakat muda secara aktif,” kata Goh.