Piala Malaysia 2022: Kim Swee tak puas hati menang tipis

Pemain Sabah FC Muhammad Farhan Roslan (tengah) diasak dua pemain UiTM FC pada perlawanan TM PIala Malaysia 2022 yang berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam.

SHAH ALAM: Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui ketiadaan empat tonggak utama iaitu Jose Embalo, Jackson de Souza, Park Tae Soo dan Saddil Ramdani jelas merencatkan prestasi sebenar The Rhinos apabila sekadar menang tipis 2-1 bertemu UiTM FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada aksi pembukaan Piala Malaysia 2022, Rabu malam.

Jelasnya, kelekaan pada minit -minit akhir perlawanan merupakan faktor pasukannya dihukum dengan gol dari UiTM FC yang hanya menunggu peluang melakukan counter-attack.

“Ramai yang mengalami kecederaan, masih belum pulih dan barisan yang diturunkan tidak menunjukkan prestasi sebenar terutama apabila kita mendahului dengan dua gol.

“Kita mula leka dan ini memberi peluang kepada pasukan UiTM di mana kita tahu mereka bermain secara bertahan dan counter attack.

“Akhirnya kita dibolosi, pada minit-minit terakhir kita hilang fokus, jadi kita harus perbaiki apabila kita balik ke Kota Kinabalu nanti,” ujarnya semasa sidang media selepas tamat perlawanan.

Biarpun berjaya menang, beliau masih belum berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan barisan kedua Sabah FC hari ini.

Ketumpulan di bahagian jentera serangan jelas merencatkan hasrat Sabah FC untuk berpesta gol pada aksi pembukaan Piala Malaysia biarpun berjaya mengawal permainan dengan baik.

“Sudah tentu dengan kemenangan merupakan satu keputusan yang baik, tetapi secara keseluruhan, saya masih belum lagi berpuas hati dengan apa yang berlaku.

“Di bahagian serangan kita mempunyai banyak peluang tetapi tidak disempurnakan. Walaupun kita mengawal permainan, tetapi kita harus mencipta peluang dan seterusnya menjaringkan gol,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji kewibawaan dan pengalaman Baddrol Bakhtiar kerana berjaya menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma serta akui kapten pasukan tersebut perlu membimbing pemain lain untuk menambah baik prestasi.

“Kita tahu Baddrol merupakan pemain yang cukup berpengalaman dan juga merupakan pakar sepakan percuma. Dia perlu membimbing pemain dalam aksi timbal balik selepas ini,”ujarnya.

Menjelang perlawanan timbal balik di Stadium Likas, beliau menasihati pemain agar tidak mengambil mudah corak permainan UiTM serta menggesa pemain memanfaatkan setiap peluang terhidang dengan jaringan kerana sebarang kesilapan bakal membawa padah bagi ‘Negeri di Bawah Bayu’ itu.

“Kita tidak boleh mengambil mudah kalau kita lihat corak UiTM yang bermain secara counter-attack.

“Kalau kita tidak menyempurnakan peluang kita di Sabah nanti, kalau kita dihukum dengan gol awal sudah tentu ini memberikan semangat buat UiTM,” tambahnya.

scroll to top