Sabah hantar atlet ke Kejohanan Muaythai Remaja Dunia dan Grandslam Dunia 2022

BAWA CABARAN ...Sebahagian barisan atlet Pasukan Muaythai Negeri Sabah yang membawa cabaran di Kejohanan Muaythai Remaja Dunia dan Grandslam Dunia 2022.

KOTA KINABALU: Pasukan Muaythai Negeri Sabah buat kali pertamanya menghantar atlet ke kejohanan bertaraf antarabangsa iaitu Kejohanan Muaythai Remaja Dunia dan Grandslam Dunia 2022 yang berlangsung di Sunway Pyramid Convention Center yang berlangsung pada 9 – 21 Ogos 2022.

Seni duo maemuay lelaki diwakili oleh Dariss Muzzamiel, Thien Zhi Cheng dan duo wanita Myra Arina Roslan dan Yan Jia Chi bersama 10 atlet remaja negeri Sabah yang diwakili oleh Hallary Boy Henry, Dazrey Dynnie Aznee, Dazaisy Hafiy Aznee, Chester Archie Arthur, Ashley Chow Kar Kit, Ethan Adam Azry, Akmal Zaim Rosyidi, Jezzevelle Myora Jerry, Evan Aron Warren, Deidra Jacquelina.

Pasukan diiringi oleh ketua jurulatih Cyrille Dhillon Tahing, jurulatih maemuay Mardeana Maulana, jurulatih pelapis remaja Rozaimy Ahad dan Muhammadin Janudin.

Presiden Pasukan Muaythai Negeri Sabah Hj Nazri Ab Razak dalam kenyataan di sini berkata, ini adalah peluang besar untuk atlet muaythai negeri Sabah untuk bertanding di pentas antarabangsa.

“Di mana Malaysia sendiri menjadi tuan rumah dan berharap atlet bukan sahaja mendapat pendedahan malah dapat membawa balik pingat untuk negara dan Sabah.

“Diharap para atlet remaja menggunakan peluang ini sepenuhnya dan menunjukkan bakat yang terbaik untuk mendapatkan pingat untuk negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Bukan itu sahaja malah dengan ini juga dapat menyuntik semangat para atlet pelapis remaja yang lain untuk berada di pentas antarabangsa di masa akan datang.

Katanya, ini kali pertama negeri Sabah menghantar atlet seni mae muaythai untuk bertanding di pentas antarabangsa dan memberikan pendedahan untuk bertanding dengan atlet maemuaythai dari negara lain.

Kejohanan dunia ini menarik lebih 1500 delegasi dan atlet remaja dari 101 negara di bawah naungan badan muaythai dunia INTERNATIONAL FEDERATION OF MUAYTHAI ASSOCIATION (IFMA) yang di iktiraf oleh Olimpik kounsel dunia.

scroll to top