Saya buat yang terbaik untuk Putatan: Awang Husaini

BERBANDING kawasan lain, Parlimen P.173 Putatan memiliki kedudukan yang sedikit berbeza. Terletak di  pinggir bandaraya Kota Kinabalu, Putatan menjadi tumpuan ramai dan memainkan peranan penting dalam proses pembangunan di negeri ini.

Di celah-celah kesibukan berkempen dalam PRU-15,  Tuan Awang Husaini bin Sahari, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen P.173 Putatan  memberi peluang kepada media untuk sesi wawancara ringkas mengenai Parlimen Putatan sejak beliau menjadi Ahli Parlimen di kawasan itu.

Dalam sesi wawancara beliau berbicara mengenai tekadnya untuk mentransformasi Putatan dengan membawa lebih banyak pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

Awang Husaini, yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah penyandang kerusi  Ahli Parlimen P.173 Putatan (dari 2018 sehingga dibubarkan pada 10 Oktober lepas). Beliau yang pada mulanya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang wakil rakyat, kini menjadi Ahli Parlimen yang sentiasa menjadi sandaran rakyat yang diwakilinya untuk menyuarakan aspirasi dan membela nasib mereka sebagai masyarakat pinggir bandar.

AWANG HUSAINI BIN SAHARI dilahirkan di Kampung Ulu Putatan pada 2 Mac 1967. Beliau adalah anak keenam daripada tujuh adik beradik. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Buit Hill Putatan dari tahun 1973 hingga 1978 sebelum melanjutkan pelajaran di SMK Putatan (1979-1981), SMK Likas (1982-1983) dan Tingkatan Enam di SMJK La Salle. Selepas itu beliau meneruskan pengajian di Universiti Anglia Ruskin di Cambridge England hingga lulus BA Law seterusnya melanjutkan pengajian LLM di universiti yang sama. Beliau pernah menceburi pelbagai bidang pekerjaan sebelum menceburi bidang politik. Kini beliau adalah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kawasan Parlimen P.173 Putatan mempunyai seramai 63,173 pengundi berdaftar. Dalam PRU-15, Awang Husaini (PH) berdepan Datuk Ir Shahelmey Yahya (BN), Poyne B Tudus @ Patrick Payne dari Parti Pejuang Tanahair dan Ahmad bin Mohd Said mewakili Parti Warisan Sabah.

Untuk rekod, dalam PRU-14, Awang Husaini memenangi Parlimen P173 Putatan dengan majoriti 2,339  selepas memperolehi undi sebanyak 14,106 mengalahkan Datuk Dr Marcus Mojigoh dari BN UPKO  yang mendapat undi 11,767,Zulzaim Hilmee Abidin dari PAS (2434), Jivol @ Edmund Doudilim dari Parti Harapan Rakyat(1,755) dan Milkusin Abdulah dari Parti Kerjasama Anak Negeri yang mendapat undi 728.

Ikuti petikan wawancara ringkas wartawan Abd Naddin Shaiddin bersama Awang Husaini Sahari di pejabatnya  di Putatan baru-baru ini.

ANS: Bagaimana YB mendefinisikan Parlimen Putatan?

AWANG HUSAINI: Parlimen Putatan adalah kawasan pinggir bandar yang  memiliki peranan yang berbeza dengan kawasan lain jika kita lihat dari segi kedudukannya, lebih kurang sama dengan kawasan Sepanggar. Sebagai kawasan pinggir bandar, ia menjadi tumpuan golongan pekerja migran dari luar untuk mencari peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang industri.

ANS: Apa antara permasalahan yang YB nampak di Parlimen Putatan?

AWANG HUSAINI: Salah satu masalah yang timbul berikutan penghijrahan rakyat dari luar daerah ke Putatan ialah masalah perumahan. Kita melihat timbulnya masalah perumahan. Oleh sebab itu, kerajaan perlu menyediakan kemudahan perumahan kepada penduduk terutamanya golongan B40. Perumahan perlu dibina dengan perancangan yang teliti untuk memenuhi keperluan dan permintaan penduduk yang semakin meningkat.

ANS: Menurut pandangan YB, apa sektor yang boleh dimajukan di Putatan?

AWANG HUSAINI: Salah satu sektor yang perlu dimajukan di Putatan ialah sektor  perikanan yang menjadi salah satu sumber ekonomi negeri.  Tetapi kemudahan yang ada amat terhad. Kemudahan pendaratan ikan, kilang ais dan lain-lain hanya terdapat di SAFMA. Padahal peningkatan permintaan ikan  amatlah signifikan. Perlu diingat kawasan Putatan sebahagiannya adalah kawasan pinggir pantai. Ramai di antara penduduknya ialah nelayan, ada yang sepenuh masa, ada nelayan pinggir pantai. Oleh sebab itu, jeti nelayan perlu dibina untuk memajukan industri perikanan di Putatan.  Kilang ais perlu dibina di Putatan bagi memudahkan nelayan bukan saja di Putatan bahkan sekitarnya untuk mendapatkan ais.

Selain itu, industri hiliran boleh dimajukan dan memberi peluang pekerjaan kepada golongan belia.

ANS: Kedudukan Putatan sebagai pintu masuk? Komen sedikit?

AWANG HUSAINI…Putatan juga adalah pintu masuk ke negeri ini dengan adanya Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). Pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara akan melihat Parlimen Putatan terlebih dahulu. Oleh sebab itu, sektor pelancongan perlu dimajukan lagi bagi membolehkan Putatan menjadi salah satu tumpuan pelancong dengan adanya kemudahan hotel dan penginapan yang baik. Selain itu,penduduk mendapat peluang untuk memasarkan produk hiliran mereka.

ANS: Bagaimana pula mengenai sektor pendidikan?

AWANG HUSAINI: Sejak menjadi Ahli Parlimen Putatan, saya sering menyuarakan mengenai infrastruktur pendidikan yang perlu ditingkatkan lagi. Kita dapati ada sekolah yang tidak cukup bilik darjah hingga terpaksa menempatkan  40 hingga 50 orang murid dalam satu kelas. Lebih merisaukan lagi ialah pertambahan penduduk yang banyak namun tidak selari dengan kemudahan pendidikan yang tersedia. Isu pendidikan ini perlukan perhatian. Pertambahan pelajar yang naik secara mendadak memerlukan pembinaan sekolah baru. Perlu lebih banyak sekolah baharu dibina di kawasan pinggir bandar bagi menampung keperluan yang semakin tinggi. Kita bersyukur kerana sebidang tanah sudah diperolehi untuk pembinaan sekolah baru iaitu SMK Lok Kawi. Meskipun begitu, di sebalik kekangan yang dihadapi, sekolah-sekolah di Putatan masih mencatat peratusan yang membanggakan dalam peperiksaan.

ANS: Boleh ulas sedikit mengenai kekurangan  sekolah agama di Putatan?

AWANG HUSAINI: Pendidikan agama adalah satu perkara yang perlu diberikan perhatian. Sebagaimana yang kita tahu Parlimen Putatan adalah satu kawasan yang padat dari segi populasi penduduknya, Keperluan untuk mendapatkan pendidikan agama amat tinggi, oleh sebab itu lebih banyak sekolah agama perlu dibina. Di Petagas, contohnya, terdapat sebuah sekolah agama sudah dibina kira-kira 30 tahun lepas, tidak lagi dapat menampung keperluan pelajar. Sekolah Agama Petagas  itu tidak dapat dibesarkan kerana kawasan yang kecil dan menumpang pula di kawasan tanah masjid. Hendak mencari tanah lain tidak ada yang sesuai. Mujurlah hasil perundingan dan rekomendasi dan sokongan yang padu  Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan, kita mendapat  tapak tanah seluas dua ekar untuk membina sekolah agama di kawasan berdekatan SMK Petagas.

ANS: Satu lagi persoalan ialah berkaitan kemudahan kesihatan.Sampai sekarang, masyarakat Pulau Gaya yang terletak dalam Parlimen Putatan masih tidak mempunyai klinik kesihatan. Apa komen YB?

AWANG HUSAINI: Pulau Gaya yang terletak hanya kira-kira 10 minit dari bandaraya Kota Kinabalu memang memerlukan sebuah klinik tetap. Saya telah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan hasilnya sebuah bangunan kerajaan di pulau Gaya akan diubahsuai untuk dijadikan klinik kesihatan tetap untuk kemudahan masyarakat pulau Gaya. Pembinaan sebuah Klinik Kesihatan di Pulau Gaya dilihat sangat perlu bagi memastikan kualiti kesihatan sentiasa dalam keadaan yang memuaskan.

Selain itu, pembinaan mini stadium Putatan  yang sudahpun diluluskan dalam Belanjawan 2019 tetapi  tertangguh akibat Covid-19 . Saya pernah kepada pihak berkenaan mengenai perkembangan rancangan membina stadium itu. Saya diberitahu, ia akan diteruskan namun kita berharap peruntukan tambahan akan diberikan memandangkan perubahan harga bahan binaan yang meningkat. Dengan adanya pembinaan sebuah stadium itu, ia pastinya dapat merancakkan lagi indusri sukan di daerah  Putatan bakal melahirkan ramai atlet-atlet negeri dan negara.

ANS: Berbalik soal PRU-15, apa isu-isu yang dibangkitkan untuk menarik perhatian pengundi di Putatan?

AWANG HUSAINI: Terdapat tiga segmen isu yang kita utarakan kepada pengundi untuk meyakinkan mereka mengenai pentingnya mengundi Pakatan Harapan (PH), iaitu isu nasional, negeri dan daerah.

Untuk segmen isu nasional, kita ketengahkan mengenai isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, urus tadbir yang baik dan sebagainya.

Untuk segmen isu negeri, melibatkan isu seperti MA63. Kita mempunyai pendekatan berbeza tetapi pada sama kita juga menyokong usaha-usaha yang dilakukan untuk memperjuangkan isu berkaitan MA63.  Kita hargai usaha mereka. Tetapi kami ahli-ahli Parlimen PH dari Sabah menempuh pendekatan lain untuk memastikan kerajaan persekutuan mematuhi perjanjian Malaysia 1963 iaitu membawa isu ini ke Mahkamah  seperti yang dilakukan di Sarawak.

Selain itu, kita juga tekankan perkara-perkara yang sudah kita buat di parlimen Putatan. Antaranya ialah kemajuan dalam bidang pendidikan.Kita telah menyediakan program inisiatif pengajian tinggi kepada pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran ke IPT. Bantuan One Off itu juga memberi manfaat kepada lebih 1,000 pelajar sejak ia diperkenalkan pada 2018.

Kita juga bekerjasama dengan guru besar dan PIBG Sekolah-sekolah untuk mengenalpasti pelajar sekolah yang benar-benar memerlukan bantuan pendidikan.

Selain itu, kita juga membantu pembinaan infrastruktur pendidikan di sekolah-sekolah iaitu pembinaan laluan berbumbung agar pelajar tidak ditimpa hujan, pembinaan dewan sekolah jubin lantai dan sebagainya semata-mata untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah-sekolah.

ANS: Apakah YB berpuashati terhadap pencapaian sepanjang menjadi Ahli Parlimen Putatan?

AWANG HUSAINI: Saya sudah membuat yang terbaik sepanjang empat tahun setengah sebagai Ahli Parlimen Putatan. Rakyat menunjukkan sambutan yang baik dan saya yakin memberikan sokongan kepada saya. Selain itu, saya juga komited terhadap perjuangan parti dan sentiasa menunjukkan kesetiaan kepada parti dalam menjalankan misi dan visi untuk memperjuangkan keadilan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

scroll to top