KOTA KINABALU: Usahasama antara Yayasan Sabah dan G Capital Berhad menandakan peristiwa penting dalam perjalanan menuju bidang tenaga boleh diperbaharui untuk menjadikan Sabah sebuah negeri hijau, kata Pengerusi Innoprise Synergy Sdn.Bhd, Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin Mulia.
Katanya, di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya, pihaknya sentiasa giat dan proaktif dalam menjadikan transformasi tenaga sebagai salah satu bidang pembangunan utama, untuk mengubah Sabah menjadi sebuah negeri maju di Malaysia dan rantau ini.

USAHA SAMA…Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurutnya, peluang usaha sama itu akan digunakan sebaiknya untuk merancang sistem bekalan elektrik di Sabah dengan menggantikan penggunaan arang batu dan gas kepada loji janakuasa yang lebih baru, lebih hijau, lebih mesra alam sekitar dan lebih mampan.
Selain itu, ia juga memberi peluang kepada kita untuk bekerjasama dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd (SESB) untuk melukis semula peta bekalan elektrik, dengan mengambil kira kesejahteraan sosial setiap rakyat Sabah.
“ Ini bagi memastikan bekalan elektrik dapat dibekalkan kepada setiap kediaman rakyat Sabah, tiada yang terpinggar mahupun tercicir!,” katanya.
Katanya, penubuhan Usahasama Sabah Renewable Energy Corporation Sdn Bhd ini akan mewujudkan situasi ‘win-win’ bagi semua pihak yang terlibat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama dan Pemegang Saham antara Yayasan Sabah dan G Capital Berhad.
“Seperti yang saya katakan sebelum ini, tujuan utama usahasama ini adalah untuk menjaga kebajikan dan kualiti hidup penduduk Sabah, yang selaras dengan objektif Sabah Maju Jaya,” katanya.
Menurutnya, dengan adanya kerjasama ini, ia mampu menarik pelaburan berkualiti ke Sabah, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekaligus melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi dari golongan penduduk Sabah.
“Kita juga dapat melindungi alam sekitar dan hidupan liar di negeri kita ini,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan rakan kongsi yang berpengalaman seperti G Capital Berhad, boleh mendapat manfaat daripada kepakaran dan pengalaman mereka dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, terutamanya dalam kuasa hidroelektrik kecil dan fotovoltaik solar.
Untuk pengetahuan umum, G Capital Berhad sangat terkenal dengan penglibatan aktif dalam bidang tenaga boleh diperbaharuidan terlibat dalam pembangunan beberapa projek kuasa hidroelektrik kecil, terutamanya di negeri Perak dan Pahang.
Pada masa ini, mereka mempunyai hak milik bersama atas 3 projek hidroelektrik kecil dengan kapasiti sebanyak 29 MW yang siap dibangunkan dan sedang beroperasi. Kumpulan G Capital juga aktif dalam bidang fotovoltan solar, dan berjaya memasang dan mengaktifkan sejumlah 20MW sistem solar di atas bumbung beberapa syarikat tersenarai awam di Malaysia. Penyertaan mereka dalam usahasama ini pastinya akan membawa peluang dan sinar baru kepada rakyat Sabah, kata Pandikar.
Menurutnya, pihaknya membuat penilaian awal di beberapa lokasi sekitar Sabah. Antaranya termasuk Sungai Bayoyo, Sg Rayoh, Sg Mokodou, Sg Wariu dan Sg Panatara dengan anggaran jumlah kapasiti 65MW.
Berdasarkan kajian awal, sungai-sungai berkenaan adalah amat sesuai untuk pembangunan loji kuasa hidroelektrik kecil yang tidak perlukan empangan yang besar.
Katanya, menjelang 2025, Negara menyasarkan peningkatan 31% sumbangan sumber tenaga boleh diperbaharui kepada bekalan tenaga negara.
Pembangunan loji kuasa hidroelektrik kecil adalah amat intensif dari segi modal.
Namun, dalam jangka masa yang panjang, ia ada kelebihan berbanding kuasa sumber bahan api fosil. Projek hidroelektrik adalah hijau, ia mengurangkan kebergantungan terhadap sumber bahan api fosil seperti arang batu dan seterusnya mengurangan pelepasan gas rumah hijau.
G Capital Berhad, sebuah syarikat yang sangat berpengalaman dalam bidang kuasa hidroelektrik kecil memberikan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam perancangan dan pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui di Sabah dalam tempoh masa yang panjang.
Dalam peringkat awal ini, pihaknya akan membangunkan loji kuasa hidroelektrik kecil atas sungai-sungai yang dikenalpasti dengan anggaran kapasiti 65MW. Anggaran nilai pelaburan ialah RM 1 billion dan berpotensi menjana pendapatan tahunan sebanyak RM 85 juta.
“Untuk mencapai sasaran membangunkan loji-loji kuasa hidroelektrik kecil di Sabah, pihak usahasama akan mengadakan aktiviti-aktiviti pengumpulan dana secara bentuk ekuiti dan bon untuk membiayai kos pembangunan projek- projek berkenaan.
Pada peringkat pertama, rancangan kita adalah untuk mengumpul sebanyak RM3 billion. Memandangkan potensi pelaburan asing yang akan ditarik dengan pembangunan loji-loji kuasa hidroelektrik kecil dan pengalihan ke arah tenaga elektrik hijau, Yayasan Sabah akan menyokong projek-projek ini.Kita yakin bahawa usahasama ini akan berjaya dan mempercepatkan usaha kita kearah tenaga elektrik hijau, katanya.
Majlis Menandatangani Perjanjian Usaha Sama itu disaksikan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor
Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah,Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong , Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof bin Khan Bahadar , Pengerusi Palm Oil Industrial Cluster (POIC),Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Seri Panglima (Dr.) Salleh Tun Said Keruak, Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Sabah merangkap Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) ,Tan Sri Datuk Seri Panglima (Dr) Goh Tian Chuan, Pengarah Eksekutif G Capital Berhad ,Datuk Yap Yee Ping Pengurus Pembangunan Perniagaan G Capital Berhad ,Datuk Seri C.B Chew ,Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad,Datuk Haji Faisyal Hamdain Diego ,Pengarah CM Creative Itinerary Sdn Bhd,Zulkepli Mishat