Wanita rentung dalam kebakaran

RENTUNG...Mangsa ditemukan rentung di dalam rumahnya yang terbakar.

TAMBUNAN: Seorang wanita rentung selepas dipercayai terperangkap di dalam rumahnya yang terbakar dalam kejadian di Kampung Tikolod, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa Norhabibah Awang, 30, ditemui rentung manakala sembilan lagi ahli keluarganya sempat keluar menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Desmond Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.25 tengah malam.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis kekal yang terbakar hampir 90 peratus.

“Operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan tangki jentera dan pili bomba terdekat,” katanya ketika dihubungi kelmarin.

Desmond berkata, terdapat 10 penghuni di dalam rumah terbabit dan hanya seorang wanita ditemui rentung di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.

Katanya, ketiadaan liputan Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) di lokasi kejadian menyebabkan pihaknya sukar untuk melaporkan situasi semasa.

“Operasi kemudian ditamatkan pada jam 1.45 pagi selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

scroll to top