KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga emas cedera selepas ditetak anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Lok Kurai Selanggan, Pulau Gaya, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa berusia 73 tahun bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan di kepala sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, suspek berusia 45 tahun yang tidak bekerja merupakan seorang penagih dadah.
Katanya, semasa kejadian, suspek dikatakan mengganggu penduduk dengan membaling batu dan kayu beruti ke rumah-rumah penduduk di kawasan tanpa sebab.
“Mangsa cuba menegur perbuatan suspek dan ia dipercayai menyebabkan suspek berang sebelum balik ke rumah untuk mengambil sebilah parang.
“Suspek kemudiannya datang kembali dan terus menetak kepala mangsa sehingga luka,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Mohd Zaidi berkata, melihat kepada keadaan kepala mangsa yang berdarah, suspek terus melarikan diri masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan.
“Sebaik menerima maklumat, polis terus menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek kira-kira jam 4.30 petang di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lok Urai, di sini.
“Sebilah parang sepanjang kira-kira 0.6 meter yang dipercayai digunakan suspek menyerang mangsa turut berjaya dirampas,” katanya.
Mohd Zaidi berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.