Wushu mampu hadirkan kejutan dalam kontinjen Sabah

Aksi Hanif (kiri) semasa saingan suku akhir acara Sanda -56kg.- Foto ihsan ME Badri.

KUALA LUMPUR: Skuad wushu mampu hadirkan kejutan dalam kontinjen Sabah pada SUKMA XX.

Selepas dua hari sukan wushu berlangsung, skuad itu mempamerkan aksi mengujakan apabila bukan sahaja berjaya merangkul satu pingat perak dan satu gangsa tetapi tiga lagi atletnya telah berjaya mara ke final.

Aksi Jack (kiri) semasa pertarungan suku akhir. Akid berjaya mara ke final sanda lelaki -70kg. Foto ihsan ME Badri.

Tiga finalis itu ialah Muhammad Hanif Abdullah (Sanda lelaki -56kg), Muhammad Akid Azlan (Sanda lelaki -60kg) dan Jack Phoon Yan Jie (Sanda lelaki -70kg).

Kejayaan ke final yang dijadualkan berlangsung hari ini (16 September) itu peluang mengutip pingat emas sebagai tambahan kepada pingat perak yang dimenangi Siaw Ree Hang dan pingat gangsa Shelden Spencer Wong.

“Harap-harap ketiga-tiga mereka dapat memberikan yang terbaik seterusnya merangkul pingat emas..kita memang mengharapkannya,” kata pengurus pasukan, Lee Hon Yu ketika dihubungi.

Pada separuh akhir, Hanif menewaskan peserta Kelantan, Muhammad Zawawi manakala Akid mengenepikan Tan Xiao Wei (Selangor) dan Phoon mengecewakan Adam Akashah (Kedah).

Sambil itu, pingat perak yang dimenangi Siaw dalam acara Nangun lelaki hari ini adalah pingat pertama wushu Sabah di SUKMA.

Akid (kiri) juga membawa harapan wushu Sabah di final hari ini. Foto ihsan ME Badri.

Beliau mengumpul 9.556 mata untuk menjadi yang kedua terbaik selepas peserta Pulau Pinang yang mengumpul 9.640 mata untuk pingat emas. Pingat gangsa juga dimenangi peserta Pulau Pinang, Wee Din Jun yang mengumpul 9.553 mata.

Shelden yang mengalami kecederaan dalam pertarungan suku akhir kelmarin pula tewas ditangan peserta Selangor, William Tan dalam pusingan empat peserta terakhir acara Sanda lelaki -52kg untuk hanya berpuas hati dengan pingat gangsa.

scroll to top