China Mahu Tingkat Perkongsian Strategik Menerusi Ekspo 2020 Dubai

BEIJING: Ekspo 2020 Dubai yang ditunda selama setahun susulan pandemik COVID-19 dijadual membuka tirainya pada 1 Oktober depan.

Setakat ini, sebanyak 192 negara mengesahkan untuk menyertai ekspo dunia yang julung kali diadakan di Asia Barat dengan jangkaan kehadiran pengunjung sekitar 2.5 juta orang.

China akan menampilkan pavilion diberi nama “Cahaya Huaxia” dan kerja-kerja persiapan telah pun selesai.

Menurut Ketua wakil pavilion China, Zhang Shenfeng, bangunan berbentuk tanglung itu akan menggabungkan imej pembinaan tradisional dan moden serta mempunyai unsur sains dan teknologi moden.

“Penyertaan China dalam ekspo kali ini akan meningkatkan perkongsian strategi komprehensif antara China dengan negara-negara Arab.

“Selain berkongsi konsep dan kejayaan pembangunan China dengan dunia serta memperkasakan pertukaran dan kerjasama dengan pelbagai negara,” kata Zhang yang juga Naib Pengerusi Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT).

Beliau turut berharap hasil terkini China dalam bidang inovasi sains dan teknologi yang dipamerkan dalam ekspo kali ini akan mendorong kerjasama ekonomi digital dan kecerdasan buatan (AI) dengan pelbagai pihak.

“Ia juga diharap dapat membina iklim kerjasama yang terbuka dan inklusif serta menyuntik momentum baharu bagi pembangunan ekonomi dunia,” katanya.

Bertemakan “Membina komuniti berkongsi nasib sesama insan-inovasi dan peluang”, pavilion China tersebut merupakan pavilion paling luas dalam ekspo kali ini.-Bernama.

scroll to top