Israel tutup laluan pekerja dari Gaza selepas serangan roket baru

- Gambar AFP

BAITULMAKDIS: Israel akan menutup satu-satunya laluan dari Carikan Gaza untuk pekerja pada Ahad (23 Apr) sebagai tindak balas selepas penduduk Palestin melepaskan tiga roket ke arah Israel.

“Berikutan roket yang dilepaskan ke arah wilayah Israel dari Carikan Gaza malam tadi, kami putuskan lintasan menyeberang ke Israel untuk pedagang dan pekerja Gaza melalui Lintasan Erez tidak akan dibenarkan pada Ahad,” kata unit kementerian pertahanan Israel yang bertanggungjawab bagi hal ehwal awam Palestin (COGAT) dalam satu kenyataan pada Sabtu (22 Apr).

Dua roket dilepaskan dari Gaza ke selatan Israel pada Jumaat malam, dengan satu mengenai negara itu dan satu lagi jatuh dan terkena dekat bangunan kediaman di utara Gaza, kata sumber Palestin dan Israel.

Pada awal Sabtu, roket ketiga dilepaskan ke arah Israel, kata tentera, tanpa semboyan serangan udara diaktifkan untuk mana-mana pelancaran.

Pelancaran roket itu berikutan serangan sama pada Rabu dan Khamis ketika polis Israel bertempur dengan penunjuk perasaan Palestin di pekarangan Masjid Al-Aqsa Baitulmakdis sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Sekurang-kurangnya seorang lelaki dimasukkan ke hospital kerana cedera parah.

Israel melakukan serangan balas dengan melancarkan serangan udara namun ia kini mengalihkan tindak balasnya dengan menyekat ekonomi Palestin melalui penutupan Lintasan Erez.

“Pembukaan semula lintasan akan diputuskan mengikut penilaian situasi keselamatan,” tambah COGAT dalam kenyataannya.

Lebih 200 orang, kebanyakannya penduduk Palestin cedera dalam pertempuran di sekitar dan dalam pekarangan Masjid Al-Aqsa sepanjang minggu lalu.

Sumber : AFP/SU/ha

scroll to top