Kerajaan UK pertimbang rampas aset warga Rusia yang dibekukan

Truss berkata rampasan aset Rusia yang dibekukan oleh kerajaan UK "kemungkinan besar" memerlukan undang-undang tertentu untuk diluluskan, atau mungkin tidak perlu. - REUTERS

MOSCOW: Setiausaha Luar United Kingdom (UK) Liz Truss tidak menolak kemungkinan akan merampas aset warga Rusia di UK yang telah dibekukan dan menyerahkannya kepada Ukraine, lapor Sputnik.

“Saya menyokong konsep itu dan kami sedang menelitinya. Kanada baru sahaja meluluskannya. Kami sedang mengusahakannya bersama dengan Pejabat Dalam Negeri, tetapi saya sangat bersetuju dengan konsep itu. Kami hanya perlu buat keputusan dengan betul,” kata Truss kepada Ahli Parlimen minggu lalu, seperti dipetik The Guardian pada Ahad.

Beliau berkata rampasan aset Rusia yang dibekukan oleh kerajaan UK “kemungkinan besar” memerlukan undang-undang tertentu untuk diluluskan, atau mungkin tidak perlu.

Truss menyokong idea bahawa dana itu boleh diagihkan semula kepada rakyat Ukraine yang terjejas berikutan operasi ketenteraan khas Rusia terhadap Ukraine pada 24 Februari.

Sebagai tindak balas kepada operasi Rusia itu, negara-negara Barat melancarkan kempen sekatan menyeluruh terhadap Moscow dan telah membekalkan senjata ke Ukraine.-BERNAMA.

scroll to top