Pembukaan Semula Bangkok Mungkin Ditunda Lagi

BANGKOK: Rancangan Thailand untuk membuka semula Bangkok kepada pengembara asing yang ditangguhkan kepada 15 Oktober, kemungkinan besar akan ditunda lagi kerana bandar raya itu tidak mungkin mencapai sasaran 70 peratus penduduk dewasa menerima suntikan vaksin COVID-19.

Gabenor Bangkok Aswin Kwanmuang berkata sehingga kini, lebih 70 peratus populasi dewasa di Bangkok telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala hanya 37 peratus sudah lengkap divaksin.

“Kesihatan orang awam adalah keutamaan kami. Bagi memastikan pembukaan yang selamat, kita mesti mencapai sasaran 70 peratus penduduk Bangkok menerima dua dos vaksin COVID-19…Kami tidak mahu melihat penularan baharu kerana ini akan menimbulkan masalah.

“Kami jangka akan mencapai sasaran vaksinasi pada pertengahan Oktober,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thailand merancang untuk membuka kembali lebih banyak destinasi pelancongan popular mulai Oktober bagi menghidupkan semula industri pelancongan berikutan kejayaan “Phuket Sandbox” dan “Samui Plus” yang dilancarkan Julai lalu.

Selain Bangkok, Thailand merancang membuka semula empat wilayah lain – Chonburi, Phetchaburi, Prachuap Khiri Khan dan Chiang Mai pada 1 Oktober.

Pada Khamis, Menteri Pelancongan dan Sukan Phiphat Ratchakitprakarn berkata pembukaan semula Bangkok yang sepatutnya bermula 1 Oktober, ditunda kepada 15 Oktober kerana belum mencapai sasaran kadar vaksinasi.

Pembukaan itu masih menunggu kelulusan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA).

Timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun berkata pelancong lengkap divaksin yang memasuki Bangkok dan empat wilayah masih perlu menjalani kuarantin 14 hari.

“Setakat ini, langkah keselamatan semasa akan dikekalkan sehingga dapat kelulusan lanjut,” katanya.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 14,555 kes baharu COVID-19 dan 171 kematian, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan 1,448,792 kes dan 15,124 kematian. -Oleh Linda Khoo Hui Li/Bernama.

scroll to top