Serangan Pengebom Bunuh Diri Di Somalia Ragut 11 Nyawa

MOGADISHU: Sekurang-kurangnya 11 orang termasuk tentera serta orang awam, maut dan beberapa yang lain cedera, selepas pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di sebuah kedai teh di kawasan Wadajir, Mogadishu pada Selasa petang.

Pegawai polis Mogadishu Dadir Hassan ketika dihubungi Agensi Anadolu berkata pengebom bunuh diri itu menyasarkan sebuah kedai teh yang sibuk, berhampiran sebuah pangkalan tentera utama di Mogadishu.

“Beberapa mangsa yang cedera kebanyakan orang awam dikejarkan ke hospital. Pasukan keselamatan daripada pelbagai agensi bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat dan siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Kejadian berlaku berdekatan dengan kemudahan latihan ketenteraan Gen Dhagabadan.

Kumpulan al-Shabaab mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Perdana Menteri Somalia, Mohamed Hussein Roble mengecam serangan itu dan menyifatkan ia satu “tindakan membuta tuli”.

“Tindakan biadab ini menunjukkan bagaimana pengganas al-Shabaab dahagakan darah rakyat Somalia, jadi kita semua perlu bekerjasama untuk memerangi keganasan,” kata Roble.

Al-Shabaab, sekutu al-Qaeda, juga didakwa dalang di sebalik serangan bom trak pada Oktober 2017 di Mogadishu yang meragut 600 nyawa, disifatkan terburuk dalam sejarah negara.-Bernama.

scroll to top