GSC, TGV Tetap Tarikh Buka Semula Pawagam

DUA operator pawagam terbesar di Malaysia iaitu Golden Screen Cinemas (GSC) dan  TGV, akhirnya mengumumkan tarikh pembukaan semula premis hiburan itu kepada individu yang lengkap divaksin.

GSC menerusi hantaran di laman Instagram hari ini mengumumkan bahawa 17 cawangannya serta Aurum Cinemas di Lembah Klang, wilayah Utara dan Selatan akan dibuka pada Khamis ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Menurut hantaran itu, lebih banyak pawagam di lokasi lain akan dibuka semula pada minggu berikutnya iaitu 23 Sept.

Pengurus Besar Bahagian Jualan dan Pemasaran TGV Cinema Mohit Bhargava dalam kenyataan hari ini mengesahkan pembukaan semula pawagam milik syarikat itu dan mengalu-alukan kedatangan penonton yang telah lengkap divaksin ke premis hiburan tersebut mulai 23 Sept.

Kenyataan itu menyebut keputusan dibuat selepas berunding dengan studio untuk mendapatkan kelulusan badan penapis tempatan bagi filem mereka.

“Selain itu, fokus utama kami ialah keselamatan dan sekuriti semua kakitangan serta pelanggan dan bagi memastikan pembukaan semula pawagam kami mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP), TGV kini mengambil setiap langkah pencegahan yang perlu dan tidak akan tergesa-gesa membuka semula premis hiburan tersebut,” kata Mohit.

Penonton pasti boleh menjangkakan barisan filem menarik yang bakal ditayang sempena pembukaan semula pawagam itu termasuk Black Widow yang dibintangi Scarlett Johansson, Jungle Cruise (Dwayne Johnson) dan No Time To Die (Daniel Craig) pada September ini.

Pawagam di negeri di bawah Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara telah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 50 peratus bermula 9 Sept lepas dan hanya individu yang melengkapkan vaksinasi COVID-19 dibenar memasuki premis hiburan itu.-Bernama.

scroll to top