Peluang Peserta Pamerkan Bakat Mencipta Lagu Dan Lirik

JOHAN….Kumpulan PHASE 4 yang menyanyikan lagu ‘Malaysia Prihatin.

PERTANDINGAN Mencipta Lagu Hari Malaysia Labuanfm memberi peluang kepada peserta mempamerkan bakat penciptaan lagu dan lirik serta menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi.

Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Aminah Samsudin Mohd berkata, program itu juga dapat menyemarakkan semangat patriotik, cintakan negara dan memupuk perpaduan kaum dan etnik menerusi kerjasama erat sepanjang proses penciptaan lagu dan menghasilkan persembahan.

AMINAH SAMSUDIN MOHD

Beliau berharap makna kemerdekaan ini dihayati dalam kalangan masyarakat agar terus berusaha untuk mengekalkannya dan bersyukur atas nikmat keamanan dan kemakmuran yang dikecapi sehingga kini.

“Program terbitan Mcallister Michael ini juga merupakan julung kalinya dilaksanakan dengan norma baharu menerusi penggunaan media sosial sebagai medium siaran.

NAIB JOHAN…Kumpulan  FUSH 21 yang menyanyikan lagu ‘Prihatin Demi Cinta Pada Negara’.

“Saya berharap ia dapat merentasi sempadan menemui khalayak di mana sahaja berada sama ada di dalam mahupun luar negara,”katanya.

Aminah menjelaskan, pertandingan yang bertemakan Malaysia Prihatin itu menerima lebih 20 penyertaan dan sepuluh lagu berjaya ke peringkat akhir yang disiarkan secara maya pada Sabtu lalu.

Katanya, lagu ciptaan Isa Julkip, ‘Malaysia Ku Prihatin’ nyanyian kumpulan PH4SE 4 muncul johan sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Tempat kedua pula menjadi milik lagu ciptaan Md Salleh Sawi dan Affindy Pain, ‘Prihatin Demi Cinta Pada Negara’ nyanyian kumpulan FUSH 21 untuk meraih RM3,000.

Manakala lagu ‘Prihatin Selamanya’ ciptaan Mohd Shafie Burhanuddin nyanyian Shafie, Yahya dan Wani’ma menduduki tempat ketiga sekaligus menerima RM2,000.

Hadiah sagu hati RM1,000 masing-masing diterima kumpulan Peter Lau & Friends ciptaan dan nyanyian Peter Lau iaitu ‘Malaysia Harmoni’ dan lagu ciptaan Mozakaz, Akmal dan Jay-Jay ‘Malaysiaku Prihatin’ nyanyian Sadaura Buskers.

KETIGA…. lagu ‘Prihatin Selamanya’ nyanyian Shafie, Yahya dan Wani’ma.

Sementara lagu ‘Malaysia Negara Tercinta’ ciptaan Christal yang dinyanyikan Haider dan Christal memenangi Anugerah Khas Juri.

Anugerah Video Terbaik diraih lagu ‘Prihatin Selamanya’ ciptaan Mohd Shafie Burhanuddin nyanyian Shafie, Yahya dan Wani’ma.

Kedua-dua lagu tersebut menerima hadiah tiket penerbangan sumbangan MASwing.

Tambah beliau, penilaian telah dilakukan tiga orang juri diketuai oleh Pengarah Muzik RTM, Datuk Mokzani Ismail bersama dua lagi juri iaitu Aminah Samsudin Mohd dan Sidi Yusof.-Oleh AZRI ONN.

scroll to top