SPM: Prestasi tertinggi Kadazandusun beri inspirasi perkenal bahasa Gana

Robert disambut orang ramai di Dewan Datuk Angian Apin-Apin.

KENINGAU: Pencapaian baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru dikeluarkan disambut baik khususnya bahasa Kadazandusun yang diumumkan sebagai matapelajaran berprestasi tertinggi.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik @ Nordin berkata, pengajaran bahasa etnik secara formal mampu menarik generasi mempelajari bahasa ibunda serta memperluas penuturan bahasa berkenaan kepada etnik lain.

“Menyedari pentingnya bahasa ibunda, kita sedang mengambil inisiatif untuk memulakan penyelidikan bahasa Gana dalam rangka menjadikan bahasa itu sebagai mata pelajaran di peringkat prasekolah awam dan swasta,” kata Robert.

Bahasa Gana merupakan bahasa ibunda etnik di Keningau yang masih dituturkan secara meluas oleh kalangan generasi lama tapi belum dimasukkan ke dalam mana-mana kurikulum untuk diajar secara rasmi.

Robert percaya, bahasa Gana yang memiliki kekerabatan dengan keluarga bahasa Murutik dan bahasa Dusunik dapat menyumbang pembangunan pendidikan bahasa, budaya dan kesenian dalam kajian akademik di Malaysia.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian ketika mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan merasmikan Pesta Kaamatan Mukim Apin-Apin di Dewan Datuk Angian Andulag di sini hari ini.

Menurut Robert, pihaknya telah menubuhkan jawatankuasa Penyusunan Modul Bahasa Gana Prasekolah dan diharapkan jawatankuasa itu dapat memulakan projek selama setahun bermula hujung tahun ini.

Seterusnya Robert yang juga Naib Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) berkata, penyusunan modul prasekolah bahasa Gana melibatkan pengkaji pendidikan bahasa dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta di Sabah.

Kata Robert, pihak-pihak lain yang terlibat dalam projek itu ialah badan bukan kerajaan etnik Gana, kumpulan penyelidik serta guru-guru yang fasih bertutur dalam bahasa Gana.

“Kita telah mengunjurkan untuk mematerai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan kumpulan penyelidik serta institusi berkaitan sebelum memulakan kerja lapangan awal 2023,” kata Robert.

Robert berharap hasil penyelidikan itu dapat diimplementasi dalam pengajaran rintis di sebuah prasekolah di Keningau sebelum memohon pengajaran secara rasmi ke pelbagai tadika milik kerajaan dan swasta.

scroll to top