Berita-Berita Ringkas Dewan Rakyat

KAJIAN KUALITI DAN KESAN PDP DALAM TALIAN DI PERINGKAT AKHIR – KPT 

KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) — Kajian oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengenal pasti kualiti serta kesan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam talian semasa COVID-19 di institut pengajian tinggi (IPT) kini berada di peringkat akhir.

Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata dapatan awal kajian yang dijalankan sejak 15 Nov 2020 itu menunjukkan 78.4 peratus penuntut tidak merasa tertekan terhadap PdP dalam talian.

“Dapatan kajian ini akan digunakan KPT untuk hasilkan ‘Whitepaper on The Future of Online Learning in Higher Education’. Ia bakal membantu IPT menambah baik pelaksanaan dan kualiti PdP dalam talian. Ia dijangka diterbitkan pada November.

“Dapatan kajian ini akan menjadi satu daripada input yang akan digunakan dalam merangka hala tuju pendidikan negara pasca pandemik,” katanya bagi menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. -Bernama

 

KPWKM SEDIA BANTUAN KEPADA KANAK-KANAK KEHILANGAN IBU BAPA AKIBAT COVID-19

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memberikan bantuan kewangan, kaunseling dan penempatan kepada kanak-kanak terkesan akibat COVID-19 yang kehilangan ibu bapa atau penjaga.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata antara bantuan yang disediakan adalah bantuan kewangan kepada kanak-kanak di bawah tujuh tahun sebanyak RM200 seorang manakala kanak-kanak tujuh tahun ke atas akan menerima RM150 seorang.

Selain itu, perkhidmatan kaunseling turut disediakan kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa atau penjaga serta penyediaan penempatan di tujuh institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut zon di seluruh negara, katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) yang meminta Rina menyatakan statistik jumlah kanak-kanak yang menjadi anak yatim akibat COVID-19 dan langkah kementerian dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak itu.-Bernama.

 

PH CADANG WUJUD TABUNG PINJAMAN AGROFOOD SELESAI ISU HARGA AYAM

JAWATANKUASA Pertanian dan Keselamatan Makanan Pakatan Harapan (PH) mencadangkan agar kerajaan menyediakan Tabung Pinjaman Agrofood dengan peruntukan RM5 bilion dalam usaha mempertingkatkan produksi pengeluaran ayam di dalam negara.

Pengerusi jawatankuasa itu Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata cadangan itu adalah perancangan jangka masa panjang dalam menyelesaikan isu kenaikan harga ayam yang kini melebihi RM10 sekilo.

Beliau berkata menerusi tabung pinjaman itu, penternak ayam boleh memohon pinjaman untuk mentransformasikan kaedah penternakan konvesional kepada penternakan moden dengan sistem Internet Benda (IoT).

“Dijangka 70 peratus penternak ayam di seluruh negara masih mengguna pakai cara lama, dan kebanyakan penternak yang tidak kompetitif terpaksa gulung tikar akibat kegagalan menanggung kos pengeluaran yang semakin meningkat.

“Dengan menggunakan teknologi yang tinggi dan canggih, kapasiti yang lebih besar, kos pengeluaran akan menurun. Perkembangan ini sekali gus akan menyelesaikan masalah kenaikan harga ayam secara tuntas dan berkesan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.-Bernama.

 

LEBIH 111,000 PERANTI DIGITAL DISERAH KEPADA MURID B40 MENERUSI TABUNG CERDIK 

SEBANYAK 111,040 unit peranti digital dilengkapi dengan pelan data telah diserahkan kepada murid B40 di 895 sekolah seluruh negara sehingga 18 Sept menerusi inisiatif Tabung CERDIK, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

Menerusi jawapan bertulis yang disiar di laman web Parlimen hari ini, KPM memaklumkan 15,419 unit diterima daripada Yayasan Hasanah dan akan diagihkan kepada murid dalam masa terdekat.

Selain itu, baki 23,541 unit akan diagihkan selepas diterima daripada Yayasan Hasanah.

Inisiatif Tabung CERDIK yang diluluskan dalam Belanjawan 2021 adalah inisiatif pemberian peranti digital kepada 150,000 murid B40 dilaksanakan oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional.-Bernama.

 

MCMC TERIMA LEBIH 6,000 ADUAN BERKAITAN GANGGUAN DALAM TALIAN 

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 6,598 aduan awam secara umum berkaitan gangguan yang dilakukan secara dalam talian dari tahun 2020 hingga 31 Julai lepas.

Menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan daripada jumlah itu sejumlah 213 kes telah disiasat MCMC berhubung penyalahgunaan media sosial secara umum, dan tujuh daripadanya dihadapkan ke mahkamah.

“Ini merangkumi tetapi tidak terhad kepada isu buli, gangguan seksual, ancaman, tindakan menakut-nakutkan serta penyalahgunaan maklumat, butiran atau gambar peribadi bagi tujuan penganiayaan atau mengaibkan individu tertentu.

“Selain itu, berdasarkan statistik laporan Cyber999 yang dikendalikan oleh CyberSecurity Malaysia, terdapat 219 aduan yang diterima berkaitan jenayah seksual dalam talian bagi tahun 2020 dan sebanyak 131 aduan sehingga Julai 2021,” menurut jawapan itu.-Bernama.

 

MOTAC TELITI CADANGAN WAJIBKAN PEMBELIAN INSURANS PERJALANAN PELANCONG

KENENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang meneliti cadangan mewajibkan pembelian insurans perjalanan bagi pelancong domestik dan pelancong asing.

Kementerian itu menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen hari ini memaklumkan pada masa ini, semua pelancong tidak diwajibkan namun digalakkan membeli insurans sebagai perlindungan diri untuk meringankan beban sekiranya ditimpa musibah semasa melancong.

“Penelitian ini membabitkan pelbagai pihak termasuk kementerian dan agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kewangan dan juga penggiat industri bagi menilai setiap kelebihan serta apa-apa implikasi sebelum satu dasar mengenai perkara itu diputuskan kelak,” menurut jawapan itu. -Bernama.

scroll to top