UMNO Pusat tetap sokong UMNO Sabah – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan UMNO Pusat akan tetap bersama dengan kepimpinan UMNO Sabah di sebalik ketidaktentuan politik di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO Pusat juga akan sentiasa mendukung citra serta strategi kepimpinan UMNO Sabah yang dipimpin Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Sabah dan Sarawak adalah rakan politik strategik, maka sebarang bentuk kerajaan pada masa sekarang dan masa hadapan, UMNO tetap memilih bersama-sama dengan rakan-rakan politik dari wilayah berkenaan demi kestabilan negara.

“Malah apa yang berlaku mutakhir ini di Sabah, saya ingin membuat penegasan bahawa UMNO Pusat akan tetap bersama dengan UMNO Sabah,” kata Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, yang dihadiri 2,820 perwakilan.

Pada 11 Jan lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan rombakan Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Sabah yang antaranya menyaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dilantik Timbalan Ketua Menteri I menggantikan Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah.

Terdahulu, pada 6 Jan, Bung Moktar mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji, susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.-BERNAMA

scroll to top