17 rumah atas air di Kg Bangau-Bangau musnah terbakar

Pasukan bomba menjalankan operasi bagi memastikan api kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.

SEMPORNA: Sekurang-kurangnya 17 rumah terbakar dalam kejadian di kawasan rumah atas air di Kampung Bangau-Bangau, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, semua rumah jenis tidak kekal berkenaan dilaporkan musnah sepenuhnya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 9.20 pagi.

Katanya, sepasukan 20 anggota dan pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna dan Kunak terus dikerah ke lokasi untuk menjalankan operasi memadamkan kebakaran.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, operasi pemadaman terus dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke rumah berhampiran.

“Operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 60 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini.

Menurutnya, operasi bagaimanapun sedikit terjejas berikutan keadaan air laut cetek sehingga menyukarkan pasukan operasi sampai ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan operasi terpaksa berjalan sejauh 150 meter dari bot untuk sampai ke kawasan kebakaran.

“Api berjaya dikawal pada jam 9.58 pagi dan operasi pemadaman diteruskan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

“Operasi akhirnya berjaya ditamatkan pada jam 11.15 pagi dan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden ini,” katanya.

scroll to top