50 Karya Lukisan Tun Juhar Dipamer Secara Maya

RASMI ... Tun Juhar ketika merasmikan Pameran Khas 'karya-karya' Tuan Yang Terutama secara maya.

KOTA KINABALU:  Sebanyak 50 karya lukisan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dipamer secara maya sempena hari jadi rasminya yang ke-68.

UCAPAN … Jafry ketika menyampaikan ucapannya secara maya.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, pameran itu bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai karya seni rupa untuk meningkatkan pengetahuan dan apresiasi masyarakat.

“Karya lukisan yang dipamerkan terdiri daripada pelbagai media dan teknik catan. Enam buah karya pula dipilih oleh pihak Muzium Sabah untuk dianimasikan dengan kesan khas audio dan visual agar lebih menarik, selaras dengan penggunaan digital masa kini.

“Ia merupakan acara tahunan, namun kelainan dilakukan pada tahun ini dengan mengambil pendekatan melakukan pameran secara maya bertemakan ‘Karya-Karya Tuan Yang Terutama’.

“Melalui pameran ini, masyarakat dapat mendalami bakat terpendam Tun Juhar dalam bidang seni catan,” katanya dalam majlis perasmian pameran itu yang berlangsung secara maya, pada Khamis.

Untuk rekod, pameran ini adalah koleksi catan landskap dan alam semulajadi hasil seni Tun Juhar dari pemandangan berwarna-warni yang harmoni hingga ke mono ton, catan-catan menyampaikan kehalusan dalam landskap dan alam semulajadi.

Orang ramai yang ingin melihat pameran itu boleh melayari laman sosial rasmi Facebook Muzium Sabah bagi mendapatkan pautan pameran karya tersebut.

Hadir sama dalam perasmian secara maya itu ialah isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor serta Timbalan-timbalan Ketua Menteri, Datuk Sri Bung Moktar Radin, Datuk Dr. Jeffrey G. Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.-Penerangan.

 

scroll to top