500 Beg Darah Dikutip Sempena Sambutan Bulan Kebajikan Sabah 2021

RASMI ... Shahelmy (dua dari kanan) merasmikan Program Derma Darah sempena Bulan Kebajikan Sabah 2021.

KOTA KINABALU: Sebanyak 500 beg darah berjaya dikutip sempena sambutan Bulan Kebajikan Sabah 2021.

Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmy Yahya berkata kutipan itu hasil kempen derma darah yang diadakan oleh Jawatankuasa Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China.

“Program Derma Darah sempena Bulan Kebajikan Sabah 2021 ini adalah anjuran Jawatankuasa Wanita Dewan Perniagaan Malaysia-China Cawangan Sabah dengan kerjasama Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah.

CPR … Asnan (duduk) sedang mempamerkan cara memberi bantuan CPR yang betul.

“Ini merupakan satu inisiatif ke arah memupuk budaya prihatin dan bertanggungjawab dalam masyarakat kita.

“Kita juga mengalu-alukan dan menyeru penglibatan semua pihak dalam menjayakan program sebegini khususnya golongan muda yang mempunyai tahap kesihatan yang sesuai untuk menderma darah,” ujar beliau.

Shahelmy berkata demikian kepada media selepas selesai merasmikan program kempen derma darah yang diadakan di sini, pada Ahad.

LAWAT … Shahelmy (dua dari kanan) melawat para penderma darah yang hadir untuk menderma darah.

Program tersebut turut melibatkan Unit Perubatan Transfusi Hospital Queen Elizabeth, Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Sabah dan Pengurusan Kompleks Beli-Belah Karamunsing.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Rose Nani Mudin, Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China Micheal Chin Wee Yee, Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Sabah Datuk Asnan Yunus Chung dan Pengarah Pengurusan Kompleks Karamunsing Datuk James Hwong You Chuang.-Penerangan.

scroll to top