KOTA KINABALU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi layak diangkat untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia demi kestabilan politik negara ketika ini.
“Saya sebagai pemimpin akar umbi menyokong Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam pembentukan kabinet baru Kerajaan Perpaduan nanti yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Lahad Datu, Abdul Hamid Harun.
Beliau yang juga Ahli Cawawangan UMNO Kampung Buang Sayang Kunak Sabah berkata sudah semestinya TPM yang dilantik kelak adalah daripada UMNO dan pelantikan Dr Ahmad Zahid Hamidi juga akan membantu kestabilan politik dalam UMNO itu sendiri.
“ Dalam keadaan ekonomi ketika ini yang kurang stabil, kita melihat perlunya menteri yang memiliki kewibawaan, kepakaran, ilmu dan pengalaman untuk dilantik dalam menerajui jawatan itu untuk membangun semula negara ini dengan baik dan cemerlang,” katanya.
Menurutnya, gandingan Anwar dan Zahid sangat bertepatan dan sangat baik dalam menerajui pentadbiran dan pengurusan negara.
“Komunikasi dan kesefahaman sangat penting dan mustahak, maka dari sudut itu kedua-dua pemimpin ini sangat sefahaman, memiliki toleransi dan kepakaran dan mampu mendatangkan kestabilan negara,” kata Hamid.
Katanya, Zahid memiliki pengalaman luas, pernah menerajui beberapa kementerian yang penting, mempunyai hubungan antarabangsa yang dijalin sebelum ini menyebabkan keyakinan negara luar pada kita bertambah dan kukuh.
Selain itu, UMNO akan stabil apabila Zahid menjadi TPM kerana sebagai hirarki tertinggi dalam parti, beliau mampu mencegah kelompok perpecahan dalaman parti selepas ini .
Katanya, DS Anwar perlukan kerajaan yang stabil dan sudah semestinya Anwar juga mengharapkan kestabilan dalam parti yang sama-sama membentuk kerajaan untuk jangka masa panjang.