Bot karam, 12 individu berjaya diselamatkan

DISELAMATKAN ... Tujuh rakyat tempatan dan lima warga asing berjaya diselamatkan apabila bot yang dinaiki karam selepas mengalami kebocoran di perairan Pulau Mantabuan, di sini semalam.

SEMPORNA: Tujuh rakyat tempatan dan lima warga asing berjaya diselamatkan apabila bot yang dinaiki karam selepas mengalami kebocoran di perairan Pulau Mantabuan, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, semua mangsa berusia 3 hingga 79 tahun terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari negara jiran ke daerah Semporna.

Bagaimanapun, bot sepanjang lebih tujuh meter berkenaan dilaporkan terlanggar kayu terapung sehingga mengakibatkan bot berkenaan bocor dan dimasuki air.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima makluman daripada pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.14 malam.

Katanya, siasatan mendapati bot yang dinaiki sembilan lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak itu karam selepas mengalami kebocoran akibat terlanggar kayu terapung.

“Difahamkan, juragan dan penumpang sempat bertindak mengikat tong minyak kosong di bot berkenaan bagi mengelak bot daripada tenggelam.

“Juragan bot berkenaan kemudiannya terpaksa berenang ke arah Pulau Mantabuan selama enam jam untuk meminta bantuan pihak berkuasa yang berada di pulau berkenaan ,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Mohd Farhan berkata, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di pulau itu segera bertindak menyelamatkan semua mangsa terlibat.

“Semua mangsa kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Polis Marin (PPM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan berkata, juragan dan empat warga asing terbabit ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Sehubungan itu, Mohd Farhan menasihatkan supaya juragan bot sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari berlaku sehingga membahayakan keselamatan penumpang bot.-Sumber ATP.

scroll to top