Polis tiada terima laporan dakwaan cubaan culik murid prasekolah

Jasmin Hussin

TAWAU: Polis daerah ini mengesahkan belum menerima sebarang laporan berhubung cubaan menculik seorang murid prasekolah, yang di dakwa berlaku daerah ini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis bagaimanapun akan melakukan siasatan berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, ia termasuk usaha mendapatkan maklumat lanjut bagi mengenalpasti kesahihan dakwaan yang tular di media sosial dan Aplikasi WhatsApp.

“Berkenaan hal ini, sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak.

“Walaubagaimanapun, pihak polis juga sedang mengumpulkan maklumat bagi mendapatkan kesahihan perkara ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.

Sehubungan itu, Jasmin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang kenyataan yang belum dipastikan kesahihannya bagi mengelakkan kegusaran awam.

Dalam kenyataan yang tular mendakwa, penculik cuba mengumpan dengan memberi gula-gula serta wang kepada mangsa.

Bagaimanapun cubaan berkenaan gagal selepas disedari seorang ustaz dan pengawal keselamatan sekolah yang menjerit ke arah penculik terbabit.

Laporan itu mendakwa, penculik terus meninggalkan mangsa dan menaiki sebuah kenderaan proton saga aeroback berwarna putih.

scroll to top