KOTA KINABALU: Seorang pemimpin UMNO Bahagian Semporna, Datuk Haji Abdul Hajan Haji Gurimbang mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah yang kini dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Abdul Hajan, yang menyertai UMNO pada tahun 1994, pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti dan kini menjawat sebagai Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Semporna melepaskan semua jawatannya dalam UMNO Semporna berkuatkuasa serta merta.
Beliau mengambil keputusan itu walaupun sebelum ini diwar-warkan bertanding merebut jawatan Ketua UMNO Semporna dalam pemilihan UMNO akan datang.
Katanya, beliau memilih untuk menyokong PGRS kerana sudah sampai masanya rakyat Sabah bersatu padu menyokong parti yang benar-benar tempatan bagi menjaga kepentingan Sabah.
Gagasan Rakyat kini adalah sebahagian daripada GRS, iaitu gabungan parti terbesar yang membentuk Kerajaan Negeri.
“Kita perlu memastikan Gagasan Rakyat sebagai sebuah wadah politik tempatan ,yang benar-benar kukuh dalam meneruskan agenda pembangunan dan perpaduan melalui Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Abdul Hajan berkata, mengajak rakyat Sabah untuk memberikan sokongan kepimpinan DSP Hajiji dan barisan kepimpinannya dalam menerajui Gagasan Rakyat,sebuah parti berbilang kaum yang mampu mewakili suara rakyat Sabah dan memastikan ia menjadi sebuah parti yang kuat dalam blok Borneo.
Abdul Hajan memberitahu, beliau menulis surat untuk memaklumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan sepanjang berjuang dalam parti itu dan mengucapkan selamat berjaya kepada ahli-ahli UMNO Semporna .
Menurutnya, beliau mengambil keputusan memilih Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) untuk memberi sokongan kepada kepimpinan Hajiji untuk meneruskan agenda pembangunan di negeri ini.