Dua Bot Bertembung, Seorang Maut

MAUT ...Mangsa yang maut masih berada di dalam botnya selepas kejadian itu.

Oleh YUSOP TEPPO

SANDAKAN: Seorang lelaki maut apabila bot yang dinaikinya bertembung dengan sebuah bot lain di Sungai Dabal, pagi kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan, Superintendan Abdul Fuad Abdul Malek berkata mangsa, seorang lelaki ,43, meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dalam kejadian lebih kurang jam 9 pagi.

“Hasil siasatan awal pihak polis, mangsa yang menaiki bot bersendirian dari arah simpang Sungai Kidal telah bertembung dengan sebuah bot lain dinaiki 3 orang yang bergerak lurus dari arah Sungai Dabal menghala ke Sandakan.

“Tiga mangsa lagi dalam bot lain, juragan , 42, dan dua wanita berumur 27 dan 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Beliau berkata punca sebenar kemalangan itu masih dalam siasatan lanjut pihak polis.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan,” katanya.

scroll to top