Empat ditahan, miliki senjata buatan sendiri

SENJATA buatan sendiri yang berjaya dirampas.

KINABATANGAN: Empat lelaki ditahan selepas didapati memiliki senjata api buatan sendiri bersama peluru dalam operasi di sekitar daerah Tongod, di sini.

Semua lelaki berusia lingkungan 28 hingga 31 tahun itu dipercayai menggunakan senjata berkenaan untuk melakukan kegiatan memburu secara haram di kawasan hutan simpan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, salah seorang suspek ditahan penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri Sabah yang membuat rondaan di sekitar Hutan Simpan Maliau Basin, Tongod.

Katanya, ketika ditahan, pasukan operasi menemui satu laras senjata api buatan sendiri bersama 10 butir peluru dalam milikan suspek.

“Suspek disyaki menjalankan aktiviti pemburuan haram menggunakan senjata itu di kawasan hutan simpan berkenaan.

“Manakala, tiga lagi suspek berjaya ditahan Penguatkuasa Khas Jabatan Perhutanan Negeri Sabah di Hutan Simpan Gunung Tinkar, Tongod,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini.

Dzulbaharin berkata, ketiga-tiga suspek pada awalnya ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan menemui satu laras senjata api buatan sendiri yang disimpan di belakang kenderaan dan enam butir peluru ditemui dalam beg sandang suspek.

“Mereka disyaki bergerak menggunakan pacuan empat roda untuk menjalankan pemburuan haram di kawasan hutan simpan itu,” katanya.

Dzulbaharin berkata, keempat-empat suspek itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kinabatangan untuk tindakan selanjutnya.

“Dua kertas siasatan berasingan dibuka dan disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.

“Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum tidak kurang tujuh tahun atau denda tidak lebih dari RM 10,000,” katanya.

Sehubungan itu, Dzulbaharin memohon masyarakat setempat supaya membantu menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pemburuan haram di kawasan masing-masing.

SENJATA BAKAKUK

Katanya, maklumat boleh disalurkan ke Pusat Kawalan IPD Kinabatangan di talian 089-561890.

“Masyarakat juga dingatkan supaya tidak memiliki atau menyimpan senjata api buatan sendiri tanpa lesen seperti bakakuk kerana ia adalah satu kesalahan yang serius,” katanya. – ASIA TIMES PULSE.

scroll to top